Tidak salah berbeza pendapat antara seorang pemimpin dan ahli parti namun ia perlu disuarakan dalam ruang lingkup disiplin parti serta berlandaskan tuntutan agama demikian pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ini juga berkata, setiap ahli parti perlu utamakan perpaduan daripada mengikis kepercayaan akar umbi yang boleh mencipta pelbagai masalah dalaman.
Beliau menjawab pertanyaan media hari ini , akan ketidak hadiran Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perasmian Perhimpunan Agung (PAU) 2015 semalam dan Taklimat Presiden yang berlansung malam tadi.
“Dalam konteks berbeza pandangan atau pendapat kita perlu ingat tidak semesti pandangan kita diikuti dan tidak selalunya pandangan kita ditolak.
“Sebab itu dalam al – Quran diterangkan konsep syura. Apabila Allah swt letakkan prinsip syura dalam organisasi bermakna kita bermesyuarah (mesyuarat) .
“Kita berbincang dan boleh berbeza pandangan dan akhirnya kita memutuskan satu perkara demi kepentingan sebuah organisasi,” ujar Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Katanya lagi persefahaman dan kerjasama antara ahli dan pemimpin amat penting dalam membentuk parti yang teguh dan sentiasa relevan. Pemimpin juga perlu peka terhadap tanggungjawb dan prinsip kepimpinan sebenar selain ikhlas dalam melaksanakan wadah perjuangan mereka . Manakala ahli pula perlu taat dan sentiasa mengutamakan parti dalam setiap tindak tanduknya.