Bil tak sampai RM50 walaupun pakai 2 penghawa dingin, lelaki ajar ‘trik’ jimat elektrik

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda berjaya mencuri perhatian ramai selepas memuat naik perkongsian panduan menjimatkan tenaga elektrik untuk mereka yang memiliki penghawa dingin.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, pemuda itu mendakwa kadar bil elektrik kediamannya sememangnya tinggi untuk setiap bulan berikutan mempunyai dua unit penyaman udara.

Kadar bil elektrik bagaimanapun didapati turun dengan mendadak selepas pemuda terbabit menukarkan tetapan (setting) kepada alat kawalan jauh atau ‘remote’ peralatan tersebut.

“Bil elektrik bulanan aku pada mulanya RM96.95. Tetapi selepas menggunakan teknik ini, bil elektrik aku menurun kepada RM43.70. Hampir RM50 juga bezanya. Banyak jugalah.

“Untuk makluman, rumah aku ada dua penyaman udara. Satu di ruang tamu dan lagi satu di bilik tidur. Caranya mudah sahaja, anda hanya perlu ubah satu tetapan pada alat kawalan jauh,” katanya.

Jelasnya, penyaman udara perlu ditukar kepada ketetapan ‘dry mode’ ataupun mod kering supaya pemampatnya iaitu ‘compressor’ tidak perlu bekerja dengan begitu keras dan memakan banyak tenaga.

Tetapan ini dapat menjimatkan elektrik berikutan penyaman udara akan memastikan suhu tidak akan berubah secara berlebihan seterusnya ‘merehatkan’ pemampatnya.

“Penghawa dingin selalunya ada dua tetapan. Satu mod sejuk, lagi satu mod kering. Biasanya dekat Malaysia pakai mod sejuk supaya ruangan bilik betul-betul dingin. Tetapi tetapan memakan banyak tenaga elektrik.

‘Sebab itu aku pilih untuk tukar kepada mod kering. Penyaman udara akan pastikan bilik cukup sekadar nyaman untuk kita dudukilah. Suhu tidak akan berubah secara berlebih-lebihan.

“Makanya pemampat tak perlu bekerja keras. Kelembapan dalam bilik akan disedut keluar supaya persekitaran tak terasa berkuap. Nak guna mod sejuk tiada masalah, tetapi suhu jangan rendah sangat. Nanti bil melambung.” Jelasnya.

Namun perlu diingatkan, suhu bilik anda mungkin tidak mencapai kadar yang anda inginkan jika tetapan ditukar kepada mod kering memandangkan kaedah ini memberi fokus kepada penjimatan bukannya keselesaan.

Baca juga: Niat buat pinjaman untuk bayar yuran sekolah, lelaki dakwa dianiaya ‘scammer’, akaun bank disalahguna