AMANAH menyifatkan apa yang berlaku di Melaka adalah kegagalan pengurusan Umno di peringkat pusat dan negeri untuk mempastikan kestabilan politik berlaku di Melaka.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia bermula apabila Setiausaha Perhubungan Umno Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dilantik sebagai ketua menteri.
Kemudian, Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula dilantik sebagai Speaker DUN Melaka.
“Ini menyebabkan kecelaruan berlaku di mana Exco Melaka yang diketuai oleh ketua menteri tidak berkuasa penuh.
“Keputusan Exco dan ketua menteri Melaka selalu bertukar selepas itu menyebabkan dua pemimpin Umno Melaka yang berada dalam Exco tidak berpuas hati dan seterusnya melancarkan tindakan menarik balik sokongan kepada ketua menteri yang ada.
“Inilah yang telah mencetuskan permasalah Asam Pedas yang terlalu pedas di Melaka ini.
“Asam Pedas yang terlalu pedas inilah yang akhirnya menimbulkan masalah kepada badan dan orang Melaka sendiri sudah tidak boleh menerimanya.
“Apa tidaknya, chef yang sebenar dah bubuh pes dia. Mai chef yang lain tambah pes dia jugak. Akhirnya habis semua orang sakit perut akibat ada dua chef untuk satu periok asam pedas ini,”kata Mahfuz yang mengulas isu itu dalam sessi temubual bersama beliau dan Datuk Dr Ismail Salleh dalam sembang secara live di FB AMANAH Kedah malam tadi.
Baru-baru ini empat Exco Melaka yang diketuai bekas Ketua Menteri Datuk Seri Idris Harun telah membuat keputusan menarik balik sokongan kepada ketua menteri yang menyebabkan kerajaan negeri Melaka hiolang sokongan majoriti.
Mereka membuat keputusan menyokong Pakatan Harapan yang mempunyai 11 Adun menjadikan mereka mempunyai majoriti (15 Adun) dalam DUN Melaka yang mempunyai 28 anggota itu.
Ekoran itu, ketua menteri telah mencadangkan agar Dun Melaka dibubarkan dan dipersetujui oleh Tuan Yang Terutama Melaka, Tun Mohamad Ali Rustam.
Namun selepas itu, Umno mencadangkan agar darurat di iytiharkan di Melaka bagi mengelakkan pilihan raya negeri di adakan di musim pandemik ini.