Siapa sangka, masih ramai yang gagal memahami bahawa kepelbagaian etnik di Malaysia jauh lebih luas daripada sekadar Melayu, Cina dan India.
Hakikatnya, negara ini dihuni oleh ratusan etnik yang unik dan kaya dengan budaya tersendiri.
Namun, seorang lelaki etnik Kadazan dikejutkan dengan alasan yang diberikan oleh seorang ejen sewaan, permohonannya untuk menyewa bilik ditolak hanya kerana latar belakang etniknya.
Insiden itu dikongsikan oleh seorang pemuda bernama Kinney JR menerusi satu hantaran di Thread, lengkap dengan tangkap layar perbualan bersama ejen berkenaan, lapor Kosmo! Online.
“Masa saya tengah cari bilik sewa, benda ini pun jadi. Kak, baik pergi sekolah belajar semula subjek Sejarah!,” katanya.
Jelas alasan diberikan ejen tersebut ialah kesemua unit mereka hanya diperuntukkan untuk rakyat Malaysia sahaja.
Hantaran tersebut menyita perhatian ramai apabila ia ada dalam kalangan netizen juga berkongsi pengalaman sama.
“Saya ada pengalaman begini di Kuala Lumpur. ‘First time’ (kali pertama) tu ex-boss saya tanya, sebab saya mahu mohon cuti balik Sabah ‘when are you come back to Malaysia?’
“Hah Malaysia? Sabah bukan Malaysia? Kenapa dia tanya begitu?,” kongsi Nina Poit.
“Saya Sarawakian (orang Sarawak). Dulu nak buka akaun (bank) di Selangor sampai staf kena tanya ‘manager’. Dia siap tanya pasport lepas itu nak tanya ‘manager’ orang bukan Malaysia boleh buka akaun ke tak. Speechless’ aku,” kata Bunga Persik Cinta.
Baca juga: Pemuda kongsi realiti hidup di flat B40, mentaliti jauh beza dengan orang duduk kondo