Gara-gara persidangan Umno, golongan gelandangan dan orang susah di ibu negara kini difahamkan dihalang membuat tempahan di Rumah Prihatin@Grand Seasons.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata beliau menerima aduan sedemikian yang dikatakan melibatkan ratusan bilik di hotel tersebut.
Sehubungan itu, pemimpin DAP berkenaan berharap supaya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menyiasat dakwaan tersebut.
“Saya terima aduan bahawa Hotel Rumah Prihatin di Grand Season KL yang bagi penginapan kepada gelandangan/orang susah telah menghalang kumpulan sasar ini membuat booking kerana 450 bilik telah ditempah untuk persidangan Umno.
“Benar ke? Tolong siasat perkara ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter pagi ini.

Untuk rekod, Rumah Prihatin @Grand Seasons yang merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan dilapor beroperasi secara berperingkat mulai Julai tahun lalu.
Kerjasama dengan Hotel Grand Seasons dengan berkonsepkan hotel kebajikan itu dirancang bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.