DAP membatalkan sidang media untuk memperkenalkan calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sepatutnya berlangsung petang ini bagi mengelakkan kebimbangan mengenai SOP pilihan raya.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat DAP, satu sidang media atas talian mungkin akan diadakan selepas ini.
“Kami mohon maaf kerana sidang media fizikal hari ini dibatalkan atas sebab kebimbangan mengenai SOP pilihan raya.
“Satu sidang media atas talian (online) mungkin diadakan. Kami akan memaklumkan kepada semua dalam masa terdekat,” kata kenyataan ringkas menerusi email dari DAP Malaysia.
Sebelum ini, Ibu Pejabat DAP memaklumkan satu sidang media akan diadakan jam 3 petang ini bagi memperkenalkan calon DAP dalam PRN Melaka.
“Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan mengadakan satu sidang media untuk mengumumkan nama calon-calon parti DAP untuk PIlihan Raya Negeri Melaka esok. Semua calon akan hadir bersama.
Ia sepatutnya diadakan di Tingkat 4, Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, Jalan Yew off Jalan Pudu, Kuala Lumpur iaitu ibu pejabat DAP.