BN, GPS hanya ‘sahabat akrab’

Oleh KIM SYAZIE

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanyalah sebagai ‘sahabat yang akrab’.

Memetik Bernama, beliau turut memberitahu bahawa BN tetap menghormati GPS untuk tidak kekal menyertai BN.

“Pendirian GPS itu ada dinyatakan ketika pertemuan beliau bersama kepimpinan BN lain termasuk Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.

“Beliau (Abang Johari) ada menyatakan dalam pertemuan kami itu bahawa keputusan mereka (tiga tahun lepas) supaya parti-parti GPS ini tidak menyertai BN tetapi mereka kata mereka berkawan rapat dengan BN.

Ahmad Maslan menambah (GPS) meletakkan ‘Sarawak First’ sebagai slogan, dengan lain perkataan mereka inginkan supaya parti di Sarawak ditadbir oleh parti-parti Sarawak.

“Jadi kita hormati pandangan itu dan menghargai persahabatan (GPS) dan apabila kita menang nanti, BN menang, mudah-mudahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 … Semenanjung dan Sabah…sudah tentu kita akan menjemput GPS menyertai kerajaan Malaysia apabila tiba waktunya.

“Ini bermaksud BN+GPS, GPS bukan sebagai parti komponen BN tetapi bersama membentuk kerajaan,” kata Ahli Parlimen Pontian itu.