BN harap isu PSS kalahkan Warisan, dedah Ilham Centre

Oleh ARIF ATAN

Isu Pas Sementara Sabah (PSS) sememangnya akan terus dan mampu mempengaruhi sedikit sebanyak kempen dan kecenderungan pengundi menjelang hari-hari terakhir pembuangan undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari ini, akui ILHAM Centre.

Kajian firma penyelidikan bebas itu merumuskan BN mengharapkan isu PSS akan memangkin undi mereka untuk mengalahkan Warisan.

Walau bagaimanapun, Ketua penyelidiknya Dr Muhd Yusri Ibrahim berkata, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang mempunyai kelebihan sebagai parti pemerintah.

Selain itu, jelasnya, peranan “big men” yang memangkin peralihan undi penyokong Bersatu dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) ke Warisan, serta faktor parti lokal akan menyaksikan Warisan bakal keluar selaku pemenang.

Tinjauan akhir ILHAM Centre secara tatap muka pada 11 hingga 14 Januari lalu mendapati BN dibantu oleh parti-parti dan NGO-NGO lain menyerang dengan memainkan isu PSS sebagai isu keselamatan sebelum hari penamaan lagi.

“Warisan pula mendakwa ianya adalah cadangan daripada kerajaan BN terdahulu dan mempertahankan PSS sebagai sebuah dasar yang baik untuk membendung pendatang tanpa izin di Sabah yang berleluasa sekian lama.

“Warisan yang menghalakan hujah hak dan kewarganegaraan dalam isu PSS berdepan dengan permasalahan membina kefahaman pengundi tentang isu ini,” ujarnya dalam satu penerangan dimuatkan di laman web ILHAM Centre hari ini.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Terdapat 67 peratus daripada keseluruhan pengundi P.176 Kimanis terdiri daripada Muslim Bumiputera (majoriti daripada etnik Melayu Brunei dan sedikit Bajau), Non-Muslim Bumiputera 30 peratus (majoriti daripada etnik Kadazandusun-Murut), Cina 3 peratus dan lain-lain 0.3 peratus.