BN Selangor harapkan Azmin tidak bentang bajet ‘lolipop’ esok

Oleh MALAYSIADATELINE

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengharapkan pembentangan Bajet Negeri Selangor oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali esok, akan menyumbangkan  kepada perkembangan ekonomi negeri itu berbanding bajet terdahulu.

Timbalan Pengerusi BN Negeri Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Umno-BN mahukan bentuk bajet sebenar-benarnya yang dirancang dan merupakan inisatif kerajaan negeri.

“Kami mahu lihat bajet kali ini akan menyumbang kepada angka sebenar pertumbuhan ekonomi negeri Selangor.

“Mereka (Pakatan Rakyat) telah menyatakan kononnya berjaya mengembangkan 21% ekonomi negeri dan menyumbang kepada pendapatan negara tetapi sebenarnya, semua bentuk yang menyokong kepada perkembangan ekonomi di Selangor itu hasil daripada kerajaan pusat.

“Saya menjangkakan sumbangan mereka hanya dalam 5% sahaja dan selebihnya inisiatif kerajaan pusat,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Bangunan Umno Selangor hari ini.

Mat Nadzari berkata, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor simpanan kerajaan negeri hanya berkembang anggaran RM1bilion hingga RM1.5bilion sahaja.

Sedangkan ujarnya lagi, ketika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri daripada BN, Selangor adalah sebuah negeri maju pada ketika itu dengan lonjakan GDP negeri Selangor  sekitar RM2.3bilion tetapi sehingga kini jumlah itu tidak meningkat.

“Mana inisiatif kerajaan negeri dalam membantu perkembangan ekonomi dan mensejahterakan rakyat sejak 10 tahun lalu selepas menerajui Selangor daripada kerajaan BN.

“Jika bajet kali ini tidak menjurus kepada mengembangkan ekonomi negeri dan rakyat, saya harap Bajet Negeri Selangor hanya sebagai bajet ‘lolipop’ kerana mengula-gulakan rakyat,” ujarnya.

Kemuka 5 usul dalam sidang dewan esok

Dalam sidang media ini juga BN Selangor mengumumkan akan mengemukakan 5 usul dalam Sidang Ketiga Penggal Kelima Tahun 2017 yang akan bermula esok.

Menurut beliau lagi, dalam tempoh 10 tahun pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri ini, dengan pelbagai isu yang kian bertambah dan tidak pernah diselesaikan, dakwa Adun Batang Kali ini lagi, Kerajaan Negeri telah terbukti gagal mengurus dan mentadbir dengan baik dan sempurna dalam isu rakyat dan sensitiviti agama,

Sehubungan itu, atas dasar peduli dan tanggungjawab , beliau mendesak Kerajaan Negeri menyelesaikan sebahagian isu tersebut dalam dalam usul yang dibawa pada sidang Dun kali ini.

Justeru BN Selangor telah mengemukaka lima usul iaitu berkaitan dengan: Ikrar Bebas Rasuah dibawa oleh Adun Sungai Burong Datuk Samsudin Lias; Institusi Mahkamah Syariah (Adun Permatang-Datuk Sulaiman Abdul Razak);Yayasan Selangor (Adun Kuang-Datuk Shukur Idrus);Lesen Pusat Hiburan Keluarga (Adun Jeram- Datuk Amiruddin Setro) dan;Program Oktoberfest (Adun Dengkil-Shahrom Mohd Sharif).

“Dengan kelima-lima usul yang akan kami bahaskan pada sidang kali ini, membuktikan keperihatinan kami untuk mendesak Kerajaan Negeri mengambil langkah yang proaktif dan segera bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.

“Kami tidak mahu Speaker menolak mentah-mentah untuk dibahaskan bagi pihak rakyat negeri Selangor dalam sidang kali ini, tiada prejudis dan pilih kasih oleh Speaker.

“Apa juga usul yang kami  bawa mempunyai kepentingan rakyat dan seharusnya pihak Speaker tidak menolak dan sesuai apa yang Pakatan Rakyat perjuangkan iaitu ‘peduli rakyat’.

“JikaSpeaker terus menolak usul yang dibawa Adun BN yang menyentuh kemaslahatan rakyat dan peduli rakyat ini, ia tidak adil kepada rakyat negeri Selangor,” ujarnya yang berkata setiap sidang Dun akan ada usul dari BN untuk dibahaskan yang akan ditolak Speaker.

Kali ini beliau mengharapkan lima usul berkenaan dapat dibahaskan.