Bohong bawa MP pembangkang berbincang Belanjawan 2021, tegas Khalid

Oleh ARIF ATAN

Menjelang detik-detik Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar hari ini, Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) sempat meluahkan apa yang terbuku di hati.

Beliau menegaskan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak bersikap adil kerana libat urus bersama wakil rakyat pembangkang hanya dilakukan sekali sahaja sebelum pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.

“Kita semua mengakui bahawa titah Yang di-Pertuan Agong meminta supaya Belanjawan 2021 ini disokong.

“Walaupun disebut pihak kerajaan PN telah melakukan rundingan demi perbincangan dengan semua pihak, ini adalah satu pemalsuan fakta.

“Kita dilibatkan hanya sekali dalam perbincangan sebelum belanjawan ini dibentangkan,” tegasnya mencelah semasa ucapan penggulungan menteri terbabit.

Bertalu-talu bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mencelah sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun beberapa kali mematikan mikrofon.

“Tadi Menteri (Tengku Zafrul), Umno, BN, PN bangga belanjawan ini telah melibatkan semua pihak untuk berbincang dan merangka bersama untuk menyelesaikan , itu adalah satu pembohongan,” kata Khalid sebelum mikrofon sekali lagi dimatikan.

Azhar juga beberapa kali meminta Tengku Zafrul meneruskan ucapannya dan meninggikan suaranya beberapa kali meminta Khalid supaya tidak mencelah tanpa kebenaran.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH itu kemudiannya berpeluang lagi bercakap.

“Maka, Tuan Speaker jangan dakwa belanjawan ini hasil perbincangan bersama… Itu satu pembohongan yang jelas dan nyata,” ujarnya.

Disebabkan Azhar berterusan menghalangnya untuk mencelah, Khalid menyifatkan Speaker banyak menganggu.

“Tapi saya banyak diganggu oleh Speaker,” tegas Khalid lagi.

Serentak itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula mencelah ringkas.

“Jangan libatkan Shah Alam – tukang kacau,” kata Ketua Umno Bahagian Kinabatangan dan suami kepada pelakon Datin Seri Zizie Ezette itu lagi.