Jumlah kutipan duit raya kanak-kanak di zaman sekarang boleh mencecah ratusan bahkan ribuan ringgit sehingga terkadang membuatkan segelintir ibu bapa menjadi alpa lalu ‘terguna’ wang yang diamanahkan kepada mereka.
Malah ada juga golongan ibu bapa merasa berhak ke atas duit raya yang telah dikumpulkan oleh anak-anak sebagai bayaran kepada perbelanjaan sebelum ini dikeluarkan untuk menanggung dan membesarkan mereka.
Namun tahukah anda, duit raya dimiliki anak sebenarnya tidak boleh digunakan oleh ibu bapa mereka sesuka hati walaupun ia bertujuan untuk menampung perbelanjaan harian keluarga mahupun kanak-kanak itu sendiri.
Permasalahan ini turut dirungkai oleh pendakwah bebas popular, Ustaz Azhar Idrus yang memaklumkan bahawa hukum ibu bapa bagi menggunakan duit raya anak untuk keperluan peribadi adalah haram.
Menurut pendakwah yang turut mesra dikenali sebagai UAI itu juga, ibu bapa perlulah menggantikan semula duit raya dikumpul oleh anak sekiranya mereka terguna untuk keperluan peribadi.
“Ramai mak ayah sekarang cakap, tidak mengapa guna sebab itu adalah duit anak mereka sendiri. Untuk mereka yang tiada ilmu, boleh kata macam itu. Tetapi sebenarnya hukum guna duit raya anak adalah haram.
“Jika guna juga, mak ayah itu wajib bayar balik. Sebabnya duit raya anak itu adalah hak dia. Kita memang tak boleh ‘mencuri’ duit anak itu ditambah lagi jika mereka belum baligh,” kata pendakwah itu.
Penjelasan juga dibuat oleh Ustaz Azhar dalam satu sesi ceramah selepas menerima soalan mengenainya yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan menerusi satu hantaran video di platform TikTok.
Dalam perkongsian sama, Ustaz Azhar turut menegaskan bahawa duit raya itu adalah hak anak manakala harta atau wang ibu bapa adalah hak mereka sendiri dan tidak boleh diambil oleh orang lain tanpa keizinan.
Kanak-kanak yang belum baligh bagaimanapun tidak boleh memberikan keizinan dan agama Islam juga tidak mengajar umatnya untuk mengambil hak orang lain serta tidak boleh menggunakannya tanpa kebenaran.
“Ambil (duit raya anak) untuk disimpankan, boleh. Tetapi kalau ambil dan dibelanjakan tanpa izin mereka tak boleh. Tambah lagi kanak-kanak yang belum baligh ini tidak sah memberi izin.
“Sebab itulah kalau adanya kematian, jangan guna duit si mati untuk buat tahlil jika anaknya (yatim) masih ada lagi. Tidak boleh guna kerana majlis tahlil itu bukan satu kewajipan. Hukumnya harus sahaja untuk buat tahlil.
“Anak yang masih kecil ditinggalkan oleh si mati, tidak sah memberi izin. Kalau anak dia (si mati) sudah besar, tidak ada masalah,” ujarnya dalam rakaman berdurasi dua minit 15 saat itu.
Baca juga: Pandu kereta Lamborghini tanpa lesen, lelaki warga China dan pemilik kenderaan dikenakan saman