Boleh ke rayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam? Ini garis panduan dari JAKIM

Oleh WAN SITI AMINAH

Memandangkan Malaysia adalah negara berbilang kaum, maka tidak hairanlah jika semua hari perayaan disambut bersama-sama terutamanya bagi mereka yang memiliki ahli keluarga berlainan agama.

Walau bagaimanapun, penganut agama Islam perlu sedar bahawa terdapat batas-batas yang seharusnya dijaga agar dapat tetap memelihara keimanan dalam merayakan hari kebesaran agama lain.

Oleh yang demikian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil mengeluarkan garis panduan untuk orang Muslim yang turut merayakan hari kebesaran agama bukan Islam.

Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68, perayaan agama bukan Islam boleh dihadiri oleh orang Muslim asalkan memenuhi beberapa kriteria.

Berikut adalah garis panduan yang dikongsi Jakim dalam bentuk infografik menerusi platform X untuk menentukan kriteria sambutan hari perayaan kebesaran agama bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Muslim.

1. Majlis tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Sebagai contohnya;

  • Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas berhias dan sebagainya
  • Menyanyikan lagu-lagu yang bercirikan agama atau meletakkan apa-apa tanda pada dahi dan anggota tubuh yang lain
  • Tunduk atau melakukan perbuatan yang seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Sebagai contohnya;

  • Memakai pakaian melambangkan agama seperti baju berwarna merah seakan santa claus dan sebagainya
  • Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan, memasang bunyi-bunyian, hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil dan sebagainya
  • Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini. Sebagai contohnya;

  • Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan, berpakaian menjolok mata atau mendendangkan lagu-lagu dengan senikata berunsur lucah serta pemujaan.
  • Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam. Sebagai contohnya;

  • Memberi ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam atau yang menghina umat Muslim.
  • Mengadakan persembahan yang bertujuan untuk mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

Baca juga: Betul ke buka dobi paling mudah buat duit? Ini anggaran kos dan keuntungan anda perlu tahu