Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar baru-baru ini mengumumkan program eMADANI melibatkan tawaran e-kredit tunai bernilai RM100 boleh mula ditebus Isnin ini.
Dengan nilai kos kira-kira RM1 bilion, eMADANI akan memberi manfaat kepada lebih 10 juta individu berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun.
Pendaftaran dan tuntutan kredit eMADANI akan mula dibuka Isnin ini iaitu 4 Disember hingga 20 Februari 2024 melibatkan empat aplikasi e-dompet pilihan pengguna.
Khabar gembira ini diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara pada 29 November lalu.
Empat aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat di dalam program eMADANI ini adalah MAE (Maybank), Setel, ShopeePay dan juga Touch ‘n Go eWallet.
Sebelum permohonan kredit eMADANI boleh dibuat, pengguna perlu mengikut langkah verifikasi identiti secara elektronik ‘Know Your Customer’ (eKYC) di aplikasi pilihan.
Berikut langkah-langkah yang anda perlu ikuti untuk menuntut eMADANI;
1. Muat turun salah satu aplikasi e-dompet yang terlibat di Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.
2. Bagi pengguna baharu atau sedia ada, sila ikuti arahan yang telah disediakan di dalam aplikasi e-dompet pilihan anda.
3. Penyedia perkhidmatan e-dompet akan membuat verifikasi identiti anda secara elektronik ‘Know–Your–Customer’ (eKYC).
4. Pada aplikasi e-dompet pilihan anda, sila masukkan maklumat yang diperlukan di halaman tuntutan eMADANI dan tekan ‘Hantar’.
5. Anda akan dimaklumkan sekiranya tuntutan berjaya.
Langkah-langkah ini hanya boleh mula dilakukan pada 4 Disember dan penerima perlu menuntut eMADANI dari salah SATU penyedia perkhidmatan e-dompet sahaja.
Cara menuntut e-kredit tunai bernilai RM100 ini dikongsikan di Laman Web Khas Belanjawan Kementerian Kewangan menerusi pautan soalan lazim (FAQ).
“Sila rujuk aplikasi e-dompet masing-masing untuk maklumat lanjut mengenai penebusan kredit eMADANI.” Tulis satu kenyataan yang dipaparkan di laman web terbabit.
Perlu diingatkan, rakyat Malaysia yang layak menerima e-kredit tunai ini adalah mereka yang datang daripada golongan berpendapatan rendah iaitu B40 dan M40 sahaja.
Baca juga: JPJ Perak sita ambulans, kantoi bawa pesakit tanpa cukai jalan selama 13 tahun