Mampukah pemberian khas RM500 dan RM250 mengurangkan beban yang ditanggung kakitangan kerajaan dan pesara awam?
Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, pemberian itu umpama memujuk anak kecil yang menangis kesakitan akibat terjatuh tangga dengan gula-gula supaya berhenti menangis.
Pemberian sekecil itu, ujarnya tidak mampu meringankan beban sara hidup yang diletakkan kerajaan di atas belakang rakyat.
“Umpama seorang yang membongkok berjalan memikul beban di bahunya seguni beras, lalu datang PM Najib membantunya dengan mengurangkan beban timbangan beras tersebut sebanyak sekilogram.
“Apakah dengan bantuan Najib mengurangkan sekilo daripada seguni beras mampu menjadikan orang tersebut berjalan tegak?” sindir beliau.
Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena itu menambah, pemberian khas bagi mengganti bonus tahunan itu pastinya tidak memberi kesan besar kepada penjawat awam yang terbeban dengan berbagai beban sara hidup ciptaan kerajaan BN.
“Pemberian khas ini adalah daripada pengumuman Bajet 2016 yang diumumkan oleh PM Najib pada Oktober 2015 yang lalu. Ironinya, pemberian khas ini untuk meringankan beban rakyat khususnya penjawat dan pesara awam menanggung beban kos sara hidup yang telah diberikan kerajaan Umno-BN yang sangat membebankan,” ujar beliau.
Mahfuz menegaskan bahawa beban kos sara hidup rakyat adalah berpunca daripada urus tadbir kerajaan yang penuh dengan ketirisan, rasuah, penyelewengan dan pelbagai salah guna kuasa.
Akibat daripada masalah-masalah itu, kerajaan BN ujar beliau terpaksa menarik dan memansuhkan segala pemberian subsidi untuk rakyat serta mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk menampung segala kekurangan perbelanjaan kerajaan.
“Dalam ertikata yang lain rakyat kena membayar dan menampung ketirisan, rasuah dan penyelewengan pemimpin kerajaan Umno-BN,” kesalnya.
Sehubungan itu Mahfuz menyeru rakyat untuk merubah kerajaan yang enggan berubah sekaligus membebaskan mereka daripada ‘menanggung biawak hidup’.