BTN alat BN realisasikan agenda kekal kuasa, kata DAP

Oleh MALAYSIADATELINE

Penolong Setiausaha DAP Johor Sheikh Omar  AliPemuda DAP Johor mendakwa Biro Tatanegara (BTN) sejak ditubuhkan menjadi instrumen Umno merealisasikan agenda pengekalan kuasa parti itu untuk menyerang pemimpin dan individu tertentu dalam negara.

Keadaan ini merisaukan Pemuda DAP kerana matlamat BTN telah dimanipulasi oleh UMNO untuk menyemai kebencian, bukan mengukuhkan jatidiri peserta sebagai warganegara dalam membina Malaysia.

“BTN jelas menyimpang dan bias untuk menjayakan serakah UMNO bagi mengekalkan kuasa.

“Setelah pelbagai skandal dipalitkan keatas Perdana Menteri ditambah dengan saiz XXXL kabinet di Jabatan Perdana Menteri, kita khuatir penjenamaan BTN ini bakal menyaksikan satu lagi pembaziran dan penyalahgunaan dana awam,” ujar Penolong Setiausaha Publisi DAP Johor, Sheikh Omar Ali dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia berkata kerisauannya itu berasas kerana menghadapi pengalaman sendiei ketika mengikuti BTN semasas bergelar mahasiswa 15 tahun lalu.

“Kerisauan saya amat berasas. Jujurnya, saya sendiri pernah mengikuti BTN sewaktu bergelar mahasiswa sekitar awal tahun 2000. Pengalaman menarik saya ketika itu ialah, saya dan beberapa rakan lain telah lakukan protes dalam salah satu slot yang amat jelas menyimpang dari semangat untuk membina seorang warganegara yang patriotik. Kesannya, slot tersebut tidak berakhir seperti apa yang urusetia BTN hasratkan.

“Selepas beberapa tahun meninggalkan alam universiti pula, saya sendiri telah mendapat laporan oleh rakan peserta BTN ketika itu yang memberitahu bahawa foto saya dan beberapa rakan aktivis Persatuan Mahasiswa Islam ( PMIUM) ketika zaman saya aktif dalam PMI dahulu dipaparkan dan diburuk-burukkan dalam slot tertentu yang mereka sertai.

“ Saya juga yakin kemungkinan besar projek penjenamaan semula BTN ini adalah untuk ‘realignment’ skrip baru yang bakal memberikan bantuan hayat kepada UMNO setelah 52 peratus rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri,” ujarnya.

Dakwa beliau UMNO kini amat terdesak untuk mencipta propaganda baru setelah landskap politik negara berubah dengan kemunculan pakatan baru pembangkang dan kegagalan UMNO mengendalikan skandal-skandal besar yang telah meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga paling korup di dunia.

“ Saya amat yakin dengan kebijaksanaan dan ‘wisdom’ yang dimiliki rakyat Malaysia khususnya anak muda. Sekiranya penjamaan BTN ini diteruskan, ia tidak lebih sekadar menjadi wadah yang akan mendedahkan wajah sebenar UMNO yang gagal mengurus tadbir negara,” ujarnya.

Isnin lalu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan akan merombak serta menambah baik BTN dengan memberi lebih fokus kepada generasi muda di peringkat sekolah, kolej dan universiti awam.

Beliau dipetik berkata, pengisian baharu itu memberi tumpuan terhadap patriotisme dan kurikulum yang memupuk semangat perpaduan melibatkan semua kaum.