Cuaca panas sejak dua tiga hari ini agak membimbangkan apatah lagi ramai yang kering tekak kerana tidak cukup air.
Kanak-kanak pula dilihat bermain dalam cuaca panas dan pastinya apabila alpa bermain maka tidak sempat untuk menghidrasi badan kembali.
Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai akibat diserang strok haba di rumahnya di Kampung Perupok pada raya keempat (25 April).
Mangsa, Muhamad Syamil Aqil, 11, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 9.27 pagi semasa menerima rawatan di sebuah klinik lapor Kosmo.
ANak sulung daripada tiga beradik itu meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Ibu kanak-kanak, Wanie memaklumkan laporan bedah siasat menyatakan buah pinggang dan jantung anaknya dipercayai sudah kering selepas diserang strok haba.
“Muhamad Syamil aktif menunggang basikal pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua.
“Pada Syawal ketiga, dia mengalami demam dan cirit birit malah suhu badannya meningkat setiap satu jam sehingga mencecah 37 hingga 38 darjah Celcius,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Tubuh badan Syamil berada dalam keadaan lemah pada hari raya keempat sebelum diba ke klinik selepas mengalami kekejangan.
Menurutnya, Muhamad Syamil menghembuskan nafas terakhir di klinik sebelum jenazahnya dibawa ke HRPZ II untuk dibedah siasat.
“Jenazah anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai di sini selepas solat Isyak malam kelmarin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Baca juga: Anda mempunyai darah tinggi, jangan risau petua ini boleh kurangkan penyakit anda