Penurunan harga minyak petrol merupakan salah satu kejadian yang hampir mustahil untuk berlaku di muka bumi ini termasuklah di Malaysia.
Oleh yang demikian, pemilik kenderaan pastinya merasa amat tertekan sekiranya bahan bakar kenderaan mereka habis dengan cepat dan hanya mampu bertahan untuk beberapa hari sahaja.
Namun tahukah anda bahawa jarak pemanduan sesuatu kenderaan itu bukanlah satu-satunya faktor utama yang menjadi punca mengapa kehabisan minyak petrol berlaku dengan cepat.
Sebaliknya, cara pemanduan salah dan tidak berhemah merupakan salah satu punca dan menjadi antara faktor penyumbang utama kepada penggunaan minyak petrol yang tinggi.
Perkara itu disampaikan oleh seorang pemilik perniagaan aksesori kereta iaitu Wee Fook Seong menerusi hantaran tular yang dimuat naik di platform TikTok melalui akaun miliknya, @pakwee_oe.
Berikut adalah penerangan serta panduan dalam bentuk video untuk menjimatkan penggunaan minyak petrol dikongsikan usahawan yang lebih mesra dikenali dengan gelaran Pak Wee itu.
1) Selepas berhenti di lampu isyarat atau bonggol, jangan tekan minyak sehingga RPM (Revolution Per Minute) kereta tinggi. Buang tabiat ini!
2) Apabila memandu, sentiasa kekalkan RPM dengan konsisten. Tidak perlu memandu laju sehingga 160 km/j. Cukup sekadar 120km/j ataupun mengikut halaju yang ditetapkan di lebuh raya.
3) Servis kenderaan tepat pada masanya. Gunakan minyak hitam yang bersesuaian dengan enjin serta pastikan angin tayar diisi dengan PSI yang betul.
4) Penggunaan gear yang sesuai. Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan dan keadaan jalan seperti berbukit atau mendatar.
Pak Wee menegaskan bahawa penggunaan gear rendah untuk kelajuan tinggi boleh menyebabkan pembaziran minyak kerana ia akan menjejaskan keadaan enjin kereta.
“Tips penjimatan minyak tidak bergantung kepada produk yang dipakai pemandu. Tetapi yang penting adalah cara pemanduan betul dan berhemah.
“Selepas pemandu mampu memahami cara penggunaan gear dengan betul, penggunaan minyak petrol memang akan dapat dijimatkan. Jangan lupa buang tabiat buruk dan ikut tips-tips yang Pak Wee bagi ini.” Katanya.
Baca juga: Patutlah rangup sampai ke petang! Ini cara nak buat ayam goreng RM1 ala pasar malam