Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi kes pembuangan naskhah al-Quran ke dalam longkang pada 18 Februari lalu.
Penyelidikan dibuat bagi mengesan individu tidak bertanggungjawab yang membuang naskhah suci itu tempat tidak sepatutnya.
Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang itu, sebanyak 13 naskhah dipercayai sengaja dibuang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sebanyak 14 percakapan telah dirakam bagi membantu siasatan.
Percakapan tiga penerbit dan tiga pencetak turut dirakam oleh pihak polis bagi mendapatkan sebarang maklumat mengenai individu itu.
“Dukacita kita maklumkan yang kita masih belum mendapat maklumat (mengenai) punca sebenar naskhah al-Quran itu dibuang.
“Usaha kenal pasti serta mengesan pihak yang membuang al-Quran secara tidak berhemah itu sedang dijalankan,” katanya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dan mengaibkan agama.
Kes tersebut turut disiasat mengikut Seksyen 298a Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat kepada keharmonian negara.
Baca juga: Jumpa mayat pendaki hilang, pengamal paranormal dakwa kejadian misteri jadi petunjuk