Tidak semua mengimpikan majlis besar-besaran, malah ada memilih majlis kecil dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja.
Biasalah fasa baru biasanya diraikan dengan orang terdekat, tidak kiralah mereka selebriti atau orang biasa, ada yang lebih mementingkan privasi.
Buat penyampai radio, Linda Onn, dia tampil memohon maaf kepada pihak media atas kejadian yang berlaku 11 tahun lalu lapor Harian Metro.
“Saya mohon maaf jika ada pihak media yang masih berkecil hati kerana tidak diundang ke majlis pernikahan kami dulu.
“Kosong-kosong ya dan janganlah marah lagi,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jelasnya dia bukan sengaja tidak menjemput pihak media ke majlis nikah bersama suami Ungku Azhar Ungku Maznan, tapi ada sebab yang tak boleh dikongsi.
“Saya hanya jemput kawan-kawan terdekat dan ahli keluarga atas sebab tertentu yang saya tak boleh ceritakan sampai sekarang.
“Saya tidak jemput media bukan sebab masalah saya dan suami dan majlis itu juga di buat secara kecil-kecilan,” tambahnya.
Tidak tahu ada wartawan hadir
Pada masa sama, Linda memaklumkan dia tidak tahu bahawa ada wartawan hadir sebelum majlis bermula.
“Selepas selesai majlis pernikahan, baru ada yang beritahu wartawan berkumpul di luar rumah. Kalau saya tahu ada wartawan di luar mesti saya suruh masuk dalam rumah.
“Bila keluar cerita baru saya dapat tahu wartawan kena halau? Saya percaya semuanya kerana salah faham dan semoga penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Linda memaklumkan ada rakan wartawan yang mahu temukan dia dengan media untuk menjelaskan isu tersebut.
“Rakan wartawan, Allahyarham Mama Juwie (Abdul Jalil Salleh) pernah merancang untuk temukan saya dengan pihak media terbabit untuk beri penjelasan.
“Tapi saya pula tengah keliru dan tidak tahu kesalahan dilakukan ketika itu. Saya pula segan mahu berjumpa media dan percaya perkara itu akan dilupakan nanti,” tambahnya.
Baca juga: Hilang dari radar 2 tahun lalu, Ismail Izzani pilih luangkan masa dengan keluarga