Sudah menjadi kebiasaan buat yang berkahwin dengan mualaf untuk menjawab persoalan berkaitan agama.
Begitu juga buat pelakon Sabri Yunus yang berkahwin dengan pelakon mualaf, Ardini Angeline Tan Yoke Yeah tahun lepas.
Menerusi satu program ‘Angeline Tanya, Abang Jawab’, Sabri sebolehnya tidak mahu digelar ‘ustaz segera’ hanya kerana membantu isterinya mendalami agama Islam lapor Kosmo! Online.
“Saya sebenarnya tidak bersedia untuk menjawab persoalan daripada orang lain. Bagi saya sudah menjadi tugas suami untuk mendidik isteri.
“Jadi saya perlu bersedia dengan sebarang jawapan sekiranya isteri saya bertanya.
“Saya tidak mahu mengambil risiko menjawab persoalan tentang agama sebab nanti orang akan kata saya hendak jadi ustaz selepas baru buat satu program dakwah.
“Selepas program ini disiarkan nanti, kalau ada orang yang bertanya kepada saya tentang Islam, saya nasihatkan lebih baik bertanya terus kepada pihak yang layak,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Ujarnya dia tidak pernah bercakap soal agama sebelum isterinya memeluk Islam, bagi menghormati perbezaan agama di antara mereka.
“Sepanjang berkawan dengan dia sejak berpuluh tahun lalu, saya sentiasa menjaga tutur bicara dan adab walaupun saya sebenarnya seorang yang suka bergurau kasar dan bermulut celupar.
“Selepas kami berkahwin, barulah saya berani untuk berkongsi tentang Islam dan bercerita mengenai Islam.
“Dia memang ada banyak persoalan tentang Islam, jadi saya sebagai suami perlu bersedia untuk menjawab setiap persoalan itu,” tambahnya,
Pada masa sama dia memaklumkan pernah tidak tidur malam untuk mencari jawapan bagi soalan dikeluarkan Angeline.
“Saya sanggup berjaga malam semata-mata untuk mencari jawapan. Sekiranya sukar, saya minta dia bersabar dan menangguh jawapan pada keesokan hari.
“Walau apa pun saya perlu bersedia menjawab pertanyaannya kerana bimbang nanti dia akan mengatakan saya juga sama (mualaf) seperti dia,” tambah Sabri.
Baca juga: “Inilah jantan tak ada teloq yang bawa lari…”, Rozita Che Wan minta bantuan cari individu ini