Buat watak suami isteri dengan anak sendiri, wanita mohon maaf, maklum hanya ‘content’

Oleh MAISARAH AISYA

Tular sebelum ini mengenai seorang wanita yang memuat naik video kandungan memaparkan watak suami isteri bersama anak sulungnya.

Belum reda isu ‘abang bas’, muncul pula kes ibu dan anak berlakon seolah-olah suami isteri hingga menaikan kemarahan netizen yang menafsir ia sebagai pengantunan seksual atau child grooming.

Disebabkan itu, pemilik TikTok, Nur Hidayah Ash’ari memohon maaf selepas kandungan video bersama anak sulung berusia 14 tahun dikecam lapor Harian Metro.

“Kepada penonton di luar sana yang sudah salah faham dengan apa kami cuba sampaikan dan bawakan, kami minta maaf.

“Saya berlapang dada menerima teguran itu dan akan cuba perbaiki kelemahan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Menurutnya, perkongsian tersebut hanyalah sekadat lakonan dan video dibuat kerana dia dibayar untuk promosi produk.

“Tidak terdetik sedikit pun di fikiran saya untuk buat benda tak elok dengan anak kerana saya juga seperti ibu di luar sana yang nak tengok anak berjaya.

“Cuma ada yang mungkin tak senang dengan babak lakonan kami sebagai suami isteri dalam video itu. Sedangkan, ia hanya video POV (point of view – sudut pandangan) dan kandungan gurauan.

“Tapi mungkin orang di luar sana jadi lebih sensitif kerana ada isu tular membabitkan kanak-kanak sebelum ini.

“Saya faham mereka tegur kerana anggap apa saya lakukan tak manis. Bagi saya, pandangan itu mungkin kerana cara dan pergaulan keluarga kita tak sama,” tambahnya.

Jelasnya dia dan anak sulung itu rapat selepas kematian suaminya tiga tahun lalu malah anaknya menjadi tempat dia mengadu cerita.

Namun dia masih menjaga batas pergaulan dengan anaknya itu dan berpegang dengan ajaran Islam.

Bimbang akan isu keselamatan, Nur Hidayah membuat laporan polis malah sudah merujuk pihak pilis dan peguam mengenai kandungan yang dibuat.

“Sejak tular semalam, memang ada cacian dan makian diterima. Itu biasa tapi setakat ini tak ada ugutan dan saya sudah buat laporan di Balai Polis Bandar Bukit Tinggi (Klang) malam tadi untuk keselamatan.

“Saya rujuk juga dengan polis dan peguam mengenai perkongsian dibuat tapi diberitahu ia tiada masalah atau melanggar undang-undang kerana sekadar lakonan,” katanya.

Baca juga: Aksi pakcik berserban gagah tunggang RXZ curi perhatian