Budak 6 tahun memang tahu pandu kereta, dari mana datang cerita ‘Tok Wan’?

Oleh WAN SITI AMINAH

Pihak polis menyangkal sebarang unsur mistik yang menyelubungi kemalangan kanak-kanak berusia enam tahun di Jalan Bukit Tangga, Langkawi baru-baru ini.

Kerana berdasarkan siasatan, kanak-kanak terbabit mengetahui cara mengendali kenderaan, fungsi pedal minyak dan gear.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kanak-kanak itu telah ditemu bual semasa dibawa ke Balai Polis Trafik.

Kanak-kanak itu dapat menghidupkan enjin apabila diminta selain menunjukkan cara menurunkan brek tangan kepada pegawai penyiasat trafik.

“Pada malam kejadian, kanak-kanak terbabit mengundurkan kereta dahulu sebelum keluar dari pekarangan rumah.

“Jarak rumah dengan kedai yang ingin dituju sejauh lima kilometer, namun terlibat kemalangan ketika sudah memandu separuh jalan,” katanya.

Pemeriksaan kamera papan pemuka kereta juga mendapati pemanduan itu tidak stabil dan kadang kala sedikit memasuki lorong bertentangan, ke kiri dan ke kanan.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut hadir ke Balai Polis Trafik Langkawi, semalam ditemani ibu bapanya untuk direkodkan keterangan.

Siasatan polis diteruskan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Baca juga: “Seram pula dengar”- Budak 6 tahun cerita kisah sebenar, dakwa Tok Wan hitam berbulu yang pandu kereta