Budak 9 tahun maut dicekik abang, pelaku rupanya alami trauma selepas dibuli

Oleh KIM SYAZIE

Seorang ibu berdepan detik cemas selepas menyaksikan anaknya yang berusia sembilan tahun dicekik menerusi rakaman litar tertutup (CCTV).

Menyayat hati, pelakunya bukanlah orang asing, tetapi anak sulungnya yang berusia 14 tahun iaitu abang kandung kepada mangsa sendiri.

Cuba untuk menyelamatkan keadaan, ibu yang sedang bekerja itu segera menghubungi jiran untuk meminta bantuan.

Namun sayangnya, kanak-kanak yang dicekik itu tidak dapat diselamatkan dan ditemui tidak bernyawa di dalam genggaman abangnya sendiri.

Kejadian itu berlaku di dalam rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, Melaka, kira-kira pada pukul 12 tengah hari, semalam, lapor Kosmo!.

Bapa mereka, Najli Yakob mendakwa anak sulungnya itu mengalami gangguan emosi akibat dibuli di sekolah dan mula meracau beberapa bulan lalu.

Difahamkan, remaja itu pernah dicekik ketika sedang tidur, disimbah air, dipukul dan ditendang menggunakan kasut but oleh dua orang pelajar senior.

Namun malangnya, tiada tindakan dikenakan terhadap pembuli walaupun laporan telah dibuat kepada pihak sekolah dan juga polis.

Mula dibuli sejak tahun lalu, sifat pelajar sekolah Arab di Alor Gajah itu berubah, malah pernah mencekik Najli dan isteri beberapa kali sebelum dirawat.

Mendapatkan rawatan kesihatan termasuk perubatan Islam, pelaku sudah menunjukkan perkembangan positif sejak hujung bulan lalu.

Menurut Najli, ketika kejadian dia berada di Terengganu atas urusan kerja, isterinya pula bertugas di Hospital Melaka sebagai jururawat.

Mangsa, Muhammad Haziq terpaksa tinggal berdua bersama abangnya di rumah selepas mengalami sakit mata sejak kelmarin.

“Saya tengok rakaman (CCTV) dia (suspek) mula buka kain (pelekat) di depan pintu rumah dan hanya memakai baju serta seluar dalam, saya dah dapat rasa dia dah tak betul.

“Kemudian dia tiba-tiba lari dan cekik adik dia, dari atas sofa bergelut sampailah jatuh ke lantai, dia tumbuk berkali-kali pipi kanan dan kiri sambil menjerit ‘Subhanallah’.

“(Perbuatan diulang) sampai adiknya tidak bernyawa,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Baca juga: “Bahagianya..dia siapkan kopi setiap pagi”, lelaki tak sabar nak lamar Inspektor Sheila