Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya panglima dan komandan bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan jika gagal menghentikan budaya dera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Baginda turut menzahirkan rasa dukacita terhadap kes penderaan hingga menyebabkan kecederaan serta kematian di UPNM dan mahu budaya tidak sihat tersebut dihentikan demi memulihkan nama baik institusi ketenteraan itu.
Sultan Ibrahim tidak menafikan keperluan latihan fizikal dan mental yang keras dalam melahirkan pegawai tentera namun tidak perlulah sampai menyebabkan kecederaan serta kematian melibatkan kadet di UPNM.
Lebih mendukacitakan baginda, penderaan terus berlaku walau kejadian sebelum ini telah dibawa ke mahkamah malah seperti tiada usaha yang serius diambil oleh pihak berkenaan untuk menghentikan budaya dera.
“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera.
“Falsafah utama UPNM ialah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan. Disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini.
“Jika penderaan terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sedemikian dalam Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di mana sebahagian titah baginda itu turut dikongsikan di platform Facebook.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 27 November lalu mengumumkan lima pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan UPNM diberhentikan dan diarah membayar ganti rugi kerana terbabit dalam tiga kes penganiayaan.
Dalam kes pertama, pelaku iaitu Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan telah menekap seterika ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash yang mana kes dikesan ketika pemeriksaan tubuh berkala dilakukan pada 28 Oktober.
Pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) itu dibatalkan pelantikan sebagai pegawai kadet dan perlu membayar ganti rugi RM44,600 selain telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Kes kedua pula melibatkan tiga pelaku iaitu Izzat Izuddin Mohammad Arif (pengambilan 2021); Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (pengambilan 2023), dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pengambilan 2021) yang melakukan penganiayaan terhadap Alief Ahsreihan Ahslemy.
Ketiga-ketiga pelaku telah dibatalkan pelantikan sebagai pegawai kadet serta ditamatkan perkhidmatan dalam tentera dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan masing-masing sejumlah RM48,452.75; RM19,481.70, dan RM44,600.20.
Manakala kes ketiga melibatkan penganiayaan secara fizikal terhadap mangsa, Yeong Kian Rui melibatkan kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’ oleh Ammar Hafiy Muhammad Habib (pengambilan 2022).
Perlantikan Ammar Hafiy sebagai pegawai kadet telah dibatalkan dan ditamatkan perkhidmatan dalam tentera selain turut dikenakan bayaran ganti rugi sebanyak RM32,115.95.
Terdahulu, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dilaporkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 selepas didera oleh enam bekas penuntut UPNM yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Baca juga: Habis RM20k untuk kenduri, pengantin nekad derma makanan kepada orang ramai sebab banjir