Bukan ahli Pas saja perlu tahu sebab Khairuddin digugur, kata Nik Abduh

Oleh ARIF ATAN

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz pagi ini tampil bersuara mengenai sahabat rapatnya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang digugurkan sebagai ahli jawatankuasa parti.

Ahli Parlimen Bachok berkenaan menegaskan penjelasan kepada umum perlu dilakukan bukan sekadar kepada ahli parti.

“Buah gugur bila sudah cukup masak atau ditiup angin kuat. Buah juga boleh gugur kerana dipotong atau dibedal dengan galah oleh budak-budak. Gugur mesti bersebab.

“Jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada umum, bukan hanya kepada ahli parti sahaja. Ia kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan secara rasmi oleh pimpinan parti Pas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Nik Abduh menegaskan Pas sekarang memerintah negara dengan segala perkara mesti telus apabila melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat.

“Beliau (Khairuddin) adalah wakil rakyat Parlimen Kuala Nerus.

“Apabila seorang orang besar parti mencabar beliau agar menyatakan alasan pengguguran, maka ia adalah buruk dan teruk.

“Macam tercabar, lalu marah dan tunjuk ‘bekeng’. Logiknya Dato Khairuddinlah yang patut mencabar sebab beliaulah yang patut rasa tercabar atau marah kerana telah digugurkan dengan alasan disiplin jamaah yang masih belum diketahuinya secara rasmi,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mencabar Khairuddin atau mana-mana pemimpin parti itu untuk menyatakan bahawa isu Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah punca pemecatan Khairuddin.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, lazimnya tindakan disiplin parti didahului oleh kebisingan di luar.

“Lalu orang ramai terutama orang surat khabar akan menunggu-nunggu apakah tindakan parti terhadap ahli parti yang buat bising-bising.

“Contohnya Umno. Dalam Umno ada beberapa pemimpinnya yang acap mencabar presiden partinya. Ia menjadi bising di luar.

“Macam besar sangat krisis bakal meletus. Lalu rakyat dan orang surat khabar menunggu-nunggu tindakan parti.

“Rumours atau desas desus berlaku dan viral. Tetapi Umno nampak tenang dan buat ‘donno’ saja. Orang surat khabar jadi kecewa kerana tak boleh buat berita.

“Cara Pas dan Umno berbeza. Masing-masing ada cara. Saya adalah sahabat rapat YB Dato Dr Mohd Khairuddin at Takiri,” kata Nik Abduh kata.