Bukan alkohol! Ini minuman dalam video tular Prabowo ‘toast’ dengan Presiden Perancis

Oleh MALAYSIADATELINE

Satu rakaman memaparkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersulang (toast) minuman bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isterinya, Brigitte Macron telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya dalam rakaman tersebut, Prabowo dilihat mengangkat gelas berisi minuman berwarna kekuningan sebelum meneguknya ketika jamuan makan malam kenegaraan yang diadakan di Istana Negara, Jakarta pada Rabu lalu itu berlangsung.

Topik yang kecoh diperkatakan di platform media sosial X berhubung rakaman berkenaan adalah air yang diteguk oleh Prabowo kerana ramai masyarakat Indonesia merasa bimbang bahawa gelas kaca tersebut sebenarnya berisi minuman beralkohol.

Walau bagaimanapun, beberapa pengguna juga dilihat berfikiran positif dengan mengatakan bahawa minuman itu berkemungkinan besar tidak mengandungi alkohol sebaliknya hanyalah air bersoda yang diperbuat daripada buah epal.

Isu ini mendorong Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya tampil memberikan penjelasan berhubung jenis minuman digunakan dalam jamuan makan malam yang diadakan bersempena kunjungan Presiden Perancis ke negara berkenaan.

Dalam penjelasan itu, Teddy dengan tegas menafikan air yang digunakan untuk tujuan bersulang adalah minuman beralkohol sebaliknya jus perahan epal sider bikarbonat diperbuat daripada buah berkenaan, lapor Antara News.

Menurut Teddy, jus berkenaan memang sengaja dipilih sebagai minuman untuk sesi bersulang bersama Presiden Perancis dan isterinya pada malam tersebut kerana tidak mengandungi alkohol.

“Oh, minuman itu adalah ‘sparkling apple cider’. Memang 100 peratus jus. Bukan sejenis minuman keras dan tidak mengandungi alkohol. Memang yang dipilih untuk sesi toast kerana tidak mengandungi alkohol,” Jelas Teddy memetik laporan Antara News.

Terdahulu, Emmanuel Macron mengadakan pertemuan dengan Prabowo Subianto di Istana Presiden pada Rabu sebelum memulakan sesi perbincangan rasmi bertumpu kepada usaha kedua-dua negara di dalam mengukuhkan kerjasama pertahanan.

Hal ini kerana Indonesia adalah pelanggan utama industri pertahanan Perancis di Asia Tenggara selain menjadi destinasi kedua dalam rangka lawatan serantau Macron selepas Vietnam yang menyaksikan kedua-dua negara memeterai perjanjian bernilai melebihi AS$10 bilion.

Baca juga: Malaysia serius tangani ancaman digital, fokus lima isu kritikal perhebat Kempen Keselamatan Internet