Ekoran penafian Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC) bahawa fenomena ‘laut merah’ bukan kerana sisa bauksit, laman Facebook Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) dipenuhi sindiran netizen dengan mengaitkan punca keadaan luar biasa itu akibat sisa kunyahan sirih bersama pinang.
“Sirih punca pantai sekitar Kuantan bertukar menjadi merah. Pekerja asing dilihat gemar meludah merata-rata di sekitar pelabuhan Kuantan,” ujar Adee Muniff dengan melampirkan foto lori mengangkut bauksit yang diedit oleh BBG kononnya membawa muatan daun sirih.
Sementara itu, Sahadin Ahmed menulis, “Ikan mati disebabkan toksik sirih yang diludah oleh pekerja asing” manakala Hafiz Hamid berkata, “Lepas ni haramkan Bangla mandi pantai. Takut dia ludah dalam pantai. Merah air pantai nanti.”
Bukti depan mata
Facebook Geram juga menjadi perhatian ramai pelayar apabila ada pengguna media sosial itu mengirimkan gambar yang memperlihatkan dua pekerja sedang mencuci pelantar pada Pelabuhan Kuantan yang bersalut warna merah dipercayai bauksit.
“Laut merah bukan berpunca dari Pelabuhan Kuantan. Ini apa? Bangs*t betul percakapan,” marah MrAsraa Lapan yang mendapat reaksi lebih 100 komentar lain yang antaranya berkata, rakyat tidak bodoh dan bukti punca fenomena ‘laut merah’ sudah terang lagi bersuluh.
Bagi Shuhaimi Yahaya yang mengulas kiriman gambar itu, KPC akan mencuci dermaga tersebut menggunakan air paip bomba menyebabkan laut bertukar warna menjadi merah.
“Kenapa bauksit diteruskan? Setiap menteri Umno dapat imbuhan duitlah. Pejabat tanah dapat imbuhan dari Cina…tauke. Sepatutnya, buat perancangan kebersihan. Alam sekitar terjaga, jalan raya tak boleh kotor,” ujarnya lagi.
Selain itu, ada juga pengunjung Facebook itu dipercayai bekerja di pelabuhan itu kerana mengaku setiap hari ‘menghadap’ bauksit manakala Mohd Faizal mencadangkan penduduk Kuantan melakukan tindakan keras bagi ‘mengajar’ Menteri Besar.
“Mohon pada rakyat Kuantan. Tolonglah tolong. Tolong longgok bauksit dalam 10 guni kemudian taburkan di rumah MB (Menteri Besar). Kita tengok dia makin bangang atau makin bodoh!” tegasnya.
Ketua Pegawai Operasi KPC, Datuk Ir Khasbullah A Kadir sebelum ini mendakwa fenomena ‘laut merah’ di sekitar Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam, Kuantan bukan dari sisa bauksit (stockpile) di pelabuhan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya menyediakan sistem penapisan supaya air yang mengalir ke laut dalam keadaan terkawal sekaligus mengurangkan kotoran ke Sungai Penggorak di Pelabuhan Kuantan.
Bagaimanapun, Khasbullah dipetik berkata, proses pengendalian mengeksport bauksit di kawasan pelabuhan itu akan menjadi lebih bersih sehingga 80 peratus berbanding pada masa ini apabila pelan projek khas bagi mengatasi masalah pencemaran itu siap kelak.
Gempar ikan mati
Dalam hal berkaitan, penemuan banyak ikan terdampar mati di Sungai Tonggak, Gebeng pagi tadi menggemparkan penduduk setempat sekaligus didakwa berkaitan dengan pencemaran serius sisa bauksit yang kini berada dalam tahap kritikal.
Facebook Geram yang memuat naik beberapa keping foto yang dikatakan dirakam pada pukul 7.30 pagi semalam turut mengundang reaksi orang ramai.
“Fenomena ikan bunuh diri beramai-ramai atau pencemaran air sungai akibat sisa toksik atau sisa bauksit,” dipetik daripada media sosial itu.
Walau bagaimanapun, pengguna Facebook, Cucu Tok Ki Man memberitahu kakitangan Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah meninjau lokasi tersebut beberapa jam selepas itu bagi tujuan mengambil sampel ikan, tanah dan air sungai tersebut.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan kematian ikan terbabit berkaitan kesan agen pembersihan kimia daripada kilang-kilang berhampiran Sungai Tonggak.
“Kita jangan cepat melatah kata ini (kematian ikan) kesan bauksit. Jika berlaku pencemaran dari kilang boleh kena denda RM500,00. Apapun, kita tunggu keputusan analisis dari kedua-dua jabatan berkenaan,” ujarnya sambil menegaskan penolakan terhadap perlombongan bauksit mesti diteruskan.