Jika di Malaysia, masa untuk pelajar menghilangkan penat lelah belajar adalah pada waktu rehat, itu sekalipun tidaklah sampai sejam.
Sebuah sekolah rendah di China tular selepas mengumumkan akan mengenakan bayaran kepada muridnya yang mahu tidur sebentar pada waktu siang.
Menurut South China Morning Post (SCMP), Sekolah Rendah Jiesheng di Wilayah Guangdong akan mengenakan caj sehingga kira-kira AS$90 (kira-kira RM419) sepenggal.
Disebabkan ia adalah sekolah swasta maka tiada halangan dapat dilakukan, bagaimanapun pegawai pendidikan biro tempatan menyifatkan caj itu sebagai bukan peraturan bersepadu.
Tangkap layar notis di Sekolah Rendah Jiesheng itu mendedahkan antara jenis caj yang perlu dibayar oleh murid untuk tidur sebentar pada waktu siang.
Murid yang tidur sebentar di meja akan dikenakan bayaran sebanyak AS$28 (kira-kira RM130).
Bagi mereka yang lebih suka berbaring di atas tikar di dalam bilik darjah, bayarannya adalah AS$49 (kira-kira RM228)
Paling mahal adalah buat pelajar yang lebih suka tidur di atas katil di bilik peribadi, maka mereka perlu membayar AS$93 (kira-kira RM433).
Bayaran itu untuk tempoh satu penggal sesi persekolahan.
Tambah SCMP, seorang kakitangan di sekolah itu, yang tidak mahu dikenali, memaklumkan media tempatan mengenai kewujudan caj tidur siang itu.
Ujarnya, caj tersebut selaras dengan peraturan rasmi, namun peraturan itu tidak wajib dan pelajar boleh memilih untuk pulang ke rumah semasa rehat makan tengah hari.
Jurucakap Biro Pembangunan dan Pembaharuan Bandar Dongguan berkata, caj itu munasabah kerana guru dikehendaki hadir untuk menyelia dan menjaga pelajar, semasa mereka tidur sebentar.
Bagaimanapun ramai warga tempatan yang tidak berpuas hati dengan caj tersebut sehingga ada yang mempersoal hal ini adalah gurauan.
“Adakah ini gurauan? Sekolah menjadi gila hanya untuk membuat wang,” ujar seorang warga China di media sosial.
Malah ada yang menyifatkan rancangan itu tidak masuk akal dan mempersoalkan sama ada pihak sekolah juga akan mengenakan bayaran untuk pergi ke tandas atau bernafas.