Bukan dadah! Rupanya ini barang dibawa Yassin hingga jadi punca ditahan di Jeddah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelawak, Yassin Senario akhirnya membuka suara tentang kejadian yang menimpanya sehingga ditahan di Jeddah, Arab Saudi sebelum ditempatkan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing.

Menurut Yassin yang baru sahaja pulang daripada negara berkenaan, penahannya sebelum ini sebenarnya bukanlah disebabkan oleh penyalahgunaan barang terlarang iaitu dadah seperti dijangka oleh banyak pihak.

Sebaliknya, kekurangan ilmu berkaitan dengan perjalanan ke Tanah Suci adalah di antara faktor menjadi punca yang membawa kepada penahanan pelawak yang baru pertama kali mahu mengerjakan ibadah umrah itu.

Yassin juga langsung tidak menyangka bahawa gurauan yang dilakukan bersama ibunya mengenai perjalanannya ke Tanah Suci sebelum bertolak ke Jeddah pada 27 Oktober, tahun lalu itu turut menjadi kenyataan.

“Sebelum berlepas, saya sempat bergurau dengan emak. Cakap yang saya mungkin ‘extend’. Emak terkejut, tetapi saya terlepas cakap tanpa sengaja. Namun nampaknya mulut masin. Saya menaiki penerbangan selama lapan jam perjalanan untuk ke Jeddah.

“Sebelum berlepas, saya terfikir bagaimana nak merokok. Jadi saya beli rokok kertas, ‘grinder’ (pengisar) dan sekotak rokok di lapangan terbang. Sampai sahaja di Jeddah, beg diimbas ketika penerbangan ke Madinah. Pihak Kastam nampak sesuatu dan mengarahkan untuk buka beg saya.

“Dia pegang benda agak mengerunkan. Saya nampak dia pegang ‘grinder’ yang ada lambang barang terlarang. Jadi mereka teruslah selongkar beg. Kerana pada mereka, ini adalah barang yang mencurigakan,” dakwa Yassin dalam satu pendedahan ekslusif bersama pelawak, Saiful Apek.

Pendedahan itu dibuat menerusi satu sesi audio siar atau ‘poscast’ iaitu Darkcast bersama rakan seperjuangannya yang bertajuk ‘Episod Khas – Yassin Yahya, bersalah atau ???’ disiarkan melalui akaun YouTube Gitu Gitu Studio, semalam.

Pemilik nama sebenar Yassin Yahya itu kemudian dibawa ke sebuah bilik di mana badan dan beg miliknya kembali diselongkar sebelum menjelaskan barangan dibawanya hanyalah rokok malah sudi membuat ujian air kencing.

“Saya suruh mutawif tinggalkan saya sebab mereka mahu kejar penerbangan seterusnya ke Madinah. Selepas disoal siasat, mereka tutuplah beg yang digeledah. Ingat mereka nak hantar saya kembali ke kumpulan jemaah. Mungkin saya boleh lepas, namun polis suruh ikut ke jeep.

“Tangan digari dan saya dibawa ke balai polis di Jeddah pula. Tertanya-tanya, apa salah saya. Kalau fikir, takkan soal lambang jadi satu kesalahan. Kalau salah, saya sudah kena tahan di Malaysia. Saya memang tak tahu tentang undang-undang di sana.

“Sampai di balai polis, saya tiada peluang memberikan penjelasan atau menghubungi sesiapa, apatah lagi, masalah komunikasi macam ‘ayam dan itik’. Dalam perjalanan, saya ‘contact’ Allah sahaja, hanya berserah dan memohon doa serta tak putus berzikir,” katanya.

Jelasnya sebaik sampai di balai polis, dirinya dimasukkan ke dalam ke lokap khas untuk dadah yang mana beg dan barang-barang termasuk telefon bimbit miliknya diambil oleh pihak berkuasa.

Dalam perkongsian yang sama, Yassin juga mendedahkan alasan mendorongnya untuk menerima tawaran tajaan menunaikan umrah walaupun tidak sempat mengikuti kursus penyediaan sebelum bertolak ke Tanah Suci.

“Semua bermula dengan satu sidang media menjemput 25 artis veteran. Adalah seorang insan dari Pulau Pinang ini berbesar hati menaja 25 orang artis untuk menunaikan umrah. Saya teruja dan fikir inilah waktunya. Orang sudah taja, jadi mengapa tidak saya ambil peluang.

“Ketika itu, saya ada tawaran kerja. Saya fikir, nak bekerja ataupun ambil peluang ini (umrah)? Berbelah-bahagi dan pening. Saya tanya isteri dan fikir mungkin inilah niat yang sudah lama diimpikan. Saya terus hubungi emak dan beritahu ada orang nak taja menunaikan umrah.

“Emak beritahu Alhamdulillah, dia baru semalam berdoa agar salah seorang anak dapat pergi umrah. Mungkin itu adalah saya. Jadi, saya buat keputusan mahu pergi umrah, namun agak kelam kabut buat persediaan,” kongsi Yassin yang terpaksa cari pengganti untuk tawaran kerja diterima sebelum ini.

Pelawak itu kemudian dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di Jeddah pada 5 November, tahun lalu sebelum mendapat panggilan dari pihak konsulat Malaysia di Jeddah pada hari pertama berpindah.

Baca juga: Berapa kutipan terkini Ejen Ali The Movie 2 dalam tempoh empat hari?