‘Bukan kayakan diri sendiri tetapi perbanyak wang negeri agih kepada rakyat’

Oleh ARIF ATAN

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) terbukti mempunyai iltizam tinggi dalam menjaga kepentingan rakyat.

Menurutnya, tempoh 22 bulan pentadbiran PH sebelum ini yang menekankan aspek tatakelola yang baik memberi manfaat kepada rakyat bukan kepada diri ahli politik semata-mata.

“Alhamdulillah. 22 bulan kita memerintah, kita lihat saudara Adly Zahari dan rakan-rakan Exconya berjaya membuat perubahan di negeri Melaka.

“Kita lihat menjadi pemimpin politik terutama Exco-Exco kerajaan negeri bukan tujuan memperkayakan diri sendiri tetapi memperbanyakkan wang negeri untuk diagihkan kepada rakyat,” tegasnya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Selangor berkata demikian dalam Ceramah Perdana PRN Melaka secara dalam talian malam tadi.

Turut serta bekas Ketua Menteri, Adly Zahari merangkap calon DUN Bukit Katil; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin merangkap calon DUN Paya Rumput.

Bercakap lanjut, Mohamad yang mesra dipanggil Mat Sabu berkata, beliau amat berbangga dengan kepimpinan Adly menerajui kerajaan negeri Melaka sebelum ini.

“Adly Zahari diterima oleh semua kaum dan dianggap pemimpin yang adil, memberi bantuan dan pembangunan secara saksama, tidak mengikut kaum tertentu sahaja,” katanya.

Berhubung keputusan PH yang terdiri daripada PKR, AMANAH dan DAP memuktamadkan penentuan calon bertanding di semua 28 kerusi DUN, Mohamad mengakui ada ketika berlaku juga perselisihan pendapat.

“Syukur kita PH ada pelbagai pendapat tetapi akhirnya menyatu-padukan pandangan dengan meletakkan hanya seorang calon DUN untuk 28 DUN dengan satu simbol PH.

“Inilah tanda perpaduan antara kita. Yang penting kita dalam Pakatan Harapan, kita berbincang, bekerjasama serta bertolak-ansur.

“Kadang-kadang kita bertegang mencari pandangan yang terbaik. Apabila kita mencapai keputusan, kita akan laksanakannya bersama,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap hal berkaitan integriti dan urustadbir baik menjadi keutamaan dalam pembentukan kerajaan negeri selepas 20 November ini.

“Kita ketepikan isu perkauman yang sempit. Kita pergi kepada soal integriti, tatakelola yang baik. Ini yang kita utamakan,” tegasnya lagi yang menyifatkan PRN Melaka sebagai ‘pilihan raya yang dipaksakan’.

Pada PRN Melaka yang bakal berlangsung seminggu sahaja lagi, PH menampilkan 28 calon dengan 11 calon diwakili PKR, sembilan dari AMANAH dan lapan calon diwakili DAP. Kesemua calon bertanding atas tiket PH.

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala PH menguasai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (AMANAH).