Bukan ‘Langkah Sheraton’ tetapi ‘Langkah Syaiton’, kata Mohamad Sabu

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) merampas kerajaan selepas pertemuan di hotel Sheraton bukanlah ‘Langkah Sheraton’ tetapi ‘Langkah Syaiton’.

Mohamad menegaskan perkara ini dalam wawancara santai dengan beliau secara live yang dibuat melalui SumberTV, satu saluran TV Internet.

Walaupun cuba untuk diperbetulkan kalau-kalau beliau tersalah sebut bahawa ianya Langkah Sheraton, Mohamad dengan tegas berkata, “Bukan Langkah Sheraton tetapi Langkah Syaiton.”

Bagi Mohamad, beliau tidak kesah kalah dalam pilihan raya kerana ia keputusan rakyat tetapi apabila keputusan rakyat diubah kepada tindakan khianat, itu yang menyebabkan beliau marah.

“Sebab itu saya kata ini langkah Syaiton,” kata Mohamad dalam wawancara yang dibuat secara langsung itu.

Bagi Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pihak yang paling khianat dalam tragedi Langkah Syaiton ini.

“Ini kerana beliau menandatangani perjanjian yang dibuat dalam Pakatan Harapan iaitu saya mewakili AMANAH, Tan Kok Wai mewakili DAP, Datuk Seri Dr Wan Azizah mewakili PKR dan Muhyiddin mewakili Bersatu.

“Kami berjanji, jika menang Tun Mahathir akan menjadi PM. PM mendatang adalah Anwar Ibrahim.

“Tiba-tiba dia khianat tengah jalan,” kata Mohamad Sabu dalam wawancara yang berjalan hampir setengah jam itu.