Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini muktamad memperoleh 10 kerusi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hasil rundingan PAS, PKR dan DAP.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad dipetik berkata,keputusan kerajaan negeri menambahkan dua lagi kuota tambahan berbanding hanya lapan kepada 10 kerusi dan peningkatan ini sangat dihargai Amanah.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Selangor sebab memasukkan Amanah dalam pentadbiran negeri menerusi lantikan ini.
” Amanah sangat menghargai jasa baik Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana mengiktiraf Amanah meskipun masih baharu, kami yakin angka ini akan dipertingkatkan lagi tahun demi tahun,” katanya ketika sidang media di pejabatnya di sini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menjelaskan pembahagian kerusi ahli majlis PBT iaitu dua ahli majlis di Hulu Selangor, Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat manakala Kuala Selangor dan Subang masing- masing seorang wakil Amanah ditempatkan.
“Jumlah 10 ini pun kita dah puas hati memandangkan Adun Amanah hanya dua orang.
“Kami turut menghargai jasa baik PKR dan DAP yang mengorbankan dua kerusi PBT milik parti mereka kepada Amanah,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Amanah mengidamkan posisi Exco di Selangor, Khalid berkata, buat masa ini cukuplah dengan posisi sedia ada.
“Exco? Tak payahlah lagipun susah perlu libatkan istana. Tapi kalau nak bagi kita terimalah.
Semalam Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Ir Izham Hashim menyambut baik dan berterimakasih dengan kesediaan Pakatan Harapan Negeri Selangor memberi ruang kepada Amanah Selangor berperanan dalam PBT negeri.
Menurut beliau, apa yang penting bukanlah bilangan kerusi PBT yang diperolehi Amanah tetapi memastikan Pakatan Harapan terus kukuh di Selangor.
Pada awalnya dipersetujui lapan kerusi ahli majlis PBT bagi penggal 2016-2017 dibahagikan kepada wakil Amanah.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah, kontroversi pembahagian kuota ahli majlis PBT selesai hasil perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, pada Rabu.
Dalam pada itu hari ini, Mohamed Azmin memaklumkan isu pelantikan ahli majlis selesai sepenuhnya dan pihaknya gembira semua pihak menerima formula diputuskan sebelum ini.
Beliau berkata, penelitian sudah dibuat di pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), perbincangan diadakan katanya berjalan dengan baik dan lancar.
“Saya gembira semua pihak menerima hakikat ini dan kita sudah membuat keputusan. Ini bukan soal kuasa, bukan soal jumlah kerusi tapi tanggungjawab besar semua yang berkaitan kepada pembayar cukai,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kampung Bukit Lanchong, pagi tadi sebagaimana dilapor media sinarharian online hari ini.
Ketika ditanya sama ada wujud ruangan perbincangan berikutan Parti Amanah Negara (Amanah) mahukan kerusi lebih, beliau menjawab perbincangan sudah dilakukan dan pihaknya sudah membuat keputusan.
Katanya, apa yang perlu difokuskan adalah tanggungjawab yang dilantik untuk ‘delivery’ kepada rakyat.