Bukan senang nak dapatkan anak bila PJJ dengan suami, Elizabeth Tan anggap ia satu komitmen

Oleh MAISARAH AISYA

Memiliki zuriat sendiri bukanlah satu perkara senang terutamanya apabila ia melibatkan pasangan yang melakukan hubungan perkahwinan jarak jauh (PJJ).

Apabila berjumpa pun sekali sekala pastinya masa diluangkan untuk bersembang akan perkembangan diri sepanjang ketiadaan pasangan masing-masing.

Penyanyi Elizabeth Tan mengakui tetap berusaha untuk mendapatkan zuriat pertama meskipun menjalani PJJ bersama suaminya, Dr. Siew Jim Ding lapor Kosmo! Online.

Pelakon movie ‘Sheriff’ itu juga berkongsi bahawa suaminya ditempatkan sebagai doktor pelatih di Hospital Tapah, Perak sejak Januari lalu.

“Ketika ini suami saya bekerja di Tapah, jadi kami jalani hubungan jarak jauh. Bukan senang kami usaha nak dapatkan anak tetapi tiba-tiba sahaja kena jarak jauh.

“Dia baru mula kerja di sana pada Januari lalu jadi kena tunggu dua tahun lagi untuk kembali tinggal sebumbung.

“Jadi, dalam tempoh sebulan, akan ada seminggu dia akan balik ke Kuala Lumpur atau saya ke sana,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu penyanyi berusia 32 tahun itu mengakui sukar untuk mendapat zuriat dek kerana kekangan masa bersama, disamping jarak memisahkan mereka.

“Situasi ini jadi tidak romantik lagi, sudah seperti bekerja dan usaha dapatkan anak itu bertukar jadi komitmen.

“Cuma plan untuk anak itu agak sukarlah sebab tidak tinggal dalam satu negeri.

“Kami berdua menikmati jarak ini kerana ada ruang untuk rindu. Sebelum ini jumpa setiap hari dan rasa saling menghargai momen bersama itu agak kurang.

“Tapi sekarang lain, setiap kali kami berjumpa, memang lebih hargai detik bersama,” ujarnya.

Baca juga: Miliki kenderaan mewah di usia 19 tahun, Zaki Yamani anggap ia satu pelaburan