Bukti Rina tidak mampu lagi bekerja bila PM jadi pengerusi JK Golongan Rentan

Oleh NASUHA RAHMAN

Susulan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sekali gus membuktikan Rina Harun tidak mampu lagi bekerja, demikian dakwa Hannah Yeoh.

Ahli Parlimen Segambut itu juga berkata, golongan rentan memang menjadi tanggungjawab Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana ia ada dalam skop kementerian itu.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu merujuk jawatankuasa baharu bagi melindungi kebajikan golongan rentan, khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya, wanita dan warga emas, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sendiri.

“Yang paling penting, kalau perdana menteri kata nak selesaikan masalah kanak-kanak, ia perlu mendapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri, khususnya melibatkan isu warganegara, kanak-kanak dan sebagainya.

Bukti Rina tidak mampu lagi bekerja bila PM jadi pengerusi JK Golongan Rentan
Hannah Yeoh

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Pejabat Ahli Parlimen Segambut dengan kerjasama Persatuan Anak Jati Penchala di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Terdahulu, Ismail dilaporkan berkata, jawatankuasa khas itu akan memastikan semua pusat jagaan diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993, selain meneliti isu berkaitan ketiadaan dokumen pengenalan diri yang boleh menjejaskan masa depan kanak-kanak terlibat dan akta lapuk yang perlu dipinda.

Dalam pada itu, mengulas kes remaja sindrom down yang sedang tular ketika ini beliau berkata kes seperti ini berlaku bukan kerana negara tidak mempunyai undang-undang mencukupi, sebaliknya kekurangan penguatkuasaan.

“Kalau lihat kes Bella menunjukkan bukan tak cukup undang-undang, tapi kita sebenarnya sudah ada Akta Kanak-kanak, isunya kita selalunya kekurangan penguatkuasaan yang buat pemantauan di rumah-rumah kebajikan, rumah yang menjaga kanak-kanak.”

Katanya, data menunjukkan negara hanya mempunyai hampir 200 pelindung bagi kira-kira sembilan juta kanak-kanak.

Bella

“Sebenarnya, untuk populasi kanak-kanak seperti ini, kita perlukan paling kurang 1,500 pelindung kanak-kanak, kalau lihat kepada jumlah sekarang jurangnya sangat besar.”

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agensi kanak-kanak turut diwujudkan.

“Kalau nak perkasa lagi hak kanak-kanak, isu kekurangan pelindung kanak-kanak perlu diselesaikan dan mewujudkan agensi kanak-kanak. Selagi tak wujud agensi kanak-kanak, tidak tambah pelindung kanak-kanak, banyak lagi isu seperti kes Bella akan berlaku,” katanya.

Baca juga: MP DAP gesa Menteri Kewangan kaji masalah bank enggan lulus permohonan akaun bank baru