Buli di sekolah bukan lagi isu terpencil, sebaliknya menjadi gejala sosial yang semakin menular dan memberi kesan mendalam terhadap mental pelajar.
Bukan kes pertama malah sudah banyak isu buli melibatkan sekolah berasrama penuh dan sekolah harian.
Terbaru mengenai isu seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Besut dibuli pelajar senior pada malam Selasa lalu.
Lebih menyedihkan mangsa turut mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan lapor Berita Harian.
Disebabkan itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan enam pelajar tersebut dibuang dari institusi berkenaan.
“Sudah berulang kali saya tegaskan bahawa tiada tempat bagi pembuli di mana-mana MRSM.
“Apa jua alasan tidak sesekali menghalalkan perbuatan memukul atau apa jua bentuk perbuatan fizikal yang boleh mencederakan.
“Saya sudah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA untuk tidak sekali-kali berkompromi dalam hal ini.
“Semua pelajar yang terbabit hendaklah dibuang dari Maktab. Tidak perlu melayani sebarang rayuan,” katanya dalam di Facebook rasmi beliau.
Menerusi ruangan komen, beliau memaklumkan polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap kesemua pelajar terlibat.
“Polis akan memohon perintah tahanan reman di Mahkamah Kuala Terengganu pada jam 9:00 pagi terhadap semua pelajar terlibat dengan buli ini,” kongsinya.
Baca juga: Amir Hamzah dilantik menjalankan tugas Menteri Ekonomi