Cabar anak muda bekerja, Ahmad Zahid ada masalah 3D?

Oleh MALAYSIADATELINE

Penolong Setiausaha DAP Johor Sheikh Omar AliCabaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada anak muda Malaysia agar bekerja dalam sektor yang disifatkan sebagai ‘Dirty-Difficult-Dangerous (3D) hakikatnya mencerminkan sikap beliau yang ‘Dayus-Defensif-Dangkal’ dakwa Sheikh Omar Ali, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor.

Ahmad Zahid dikatakan ‘dayus’ apabila beliau lari dari permasalahan sebenar seperti menyediakan peluang pekerjaan dengan penetapan gaji minima yang setimpal.

Ahmad Zahid juga dikatakan bersikap ‘defensif’ semasa ucapannya dihadapan para belia di Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor ke-32 di Shah Alam tempoh hari dengan terus mencabar anak muda. Kononnya beliau boleh mengacah-acah anak muda untuk membenarkan tindakannya yang ingin membawa masuk 1.5 pekerja Bangladesh.

Ahmad Zahid juga dianggap ‘dangkal’apabila dengan mudahnya memperlekehkan anak muda Malaysia sebagai seolah-olah golongan yang malas bekerja, tidak ada jatidiri dan tidak berani untuk berusaha keras bagi mencari sesuap nasi untuk survival mereka.

“Ibarat menuding jari kearah orang lain, beliau tidak perasan empat jari menghala kearah dirinya sendiri.

“Pada saya, persoalan utama bukanlah tentang kesediaan anak muda untuk menceburi bidang pekerjaan di sektor 3D. Sehingga kini pun jumlah anak muda yang melakukan kerja dalam sektor 3D telah mencecah puluhan ribu.

“Namun persoalannya, apakah usaha yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah? Adakah mereka boleh digajikan pada kadar setimpal dan sesuai untuk meneruskan survival hidup seharian?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Sheikh Omar memberikan contoh, berapakah syarikat yang telah didakwa dan didenda oleh Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan kerana tidak menyediakan tempat pekerjaan yang menepati syarat keselamatan.

” Isu disini ialah aspek keselamatan pekerja dalam sektor 3D.

“Kita ambil pula contoh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sejak 2012, MPSP telah menjalankan dasar pengambilan pekerja separa mahir dan tidak mahir untuk kerja-kerja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan.

“Gaji yang ditamatkan adalah pada kadar minimum RM1500. Ia tidaklah satu angka yang lumayan, tetapi cukup untuk menarik minat lebih kurang 2000 pekerja tempatan. Pokoknya, kadar gaji yang berpatutan memainkan peranan besar.

“Sekiranya, Kerajaan menjalankan dasar yang sama, lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk orang tempatan khususnya anak muda dapat dijana.

“Malaysia adalah negara untuk semua warganya tanpa mengira samada mereka berkelulusan Ijazah atau yang mahir berniaga sahaja.

“Selagi rakyat kita mahu bekerja dan memiliki kemahiran tertentu, merekalah kelompok yang akan menerima kesan besar atas dasar pengambilan tenaga kerja asing ini,” ujarnya.

Namun katanya lagi, persoalan ini hanya dapat dijawab sekiranya Kerajaan amanah dan menguruskan kewangan negara dengan adil, tidak boros dan tidak tiris.

“Saya berasa tidak pelik sama sekali dalam keadaan pelbagai skandal melibatkan pimpinan negara hari ini, Kerajaan dengan mudah mengambil jalan pintas dengan membawa masuk tenaga pekerja asing. Ini bukan jalan penyelesaian yang tuntas.” katanya.