CAC Melawati jangka terima limpahan hampir 5,000 pesakit hari ini

Oleh KIM SYAZIE

Pagi ini Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meninjau lokasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Di Stadium Melawati selepas pusat itu dijangka menerima limpahan pesakit hampir 5,000 orang.

Turut hadir sama di lokasi bagi meninjau situasi di CAC tersebut ialah Datuk Dr Musa Mohd Nordin bersama pasukan STFC.

Difahamkan, peningkatan angka pesakit yang hadir disebabkan sekitar 40 peratus daripada jumlah kes harian yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam adalah berasal daripada Daerah Petaling.

Sementara itu, seorang sukarelawan di pusat berkenaan, Ahmad Sayuti Bashiron turut berkongsi sedikit perkembangan di pusat berkenaan.

Ahmad Sayuti memaklumkan, daripada 200 orang petugas, hampir separuh daripada mereka adalah doktor perubatan dari KKM dan sebahagian kecil merupakan doktor dari klinik swasta.

Menurutnya, seawal jam 5.30 pagi sudah ada pesakit yang menunggu di luar CAC dan petugas kesihatan pula akan mengakhiri tugasnya sehingga jam 1 pagi disebabkan kebanjiran pesakit di lokasi tersebut.

“Pagi ini, CAC Melawati terima lagi sekali lawatan rasmi dari STFC. Sejak permulaan operasi CAC pada 8 Februari, lebih lima kali STFC datang memberikan pelbagai pandangan dan bantuan memudahkan operasi. Kita jangka akan terima lebih 4,500 pesakit hari ini.

“Sekali lagi STFC mengatakan akan memanjangkan desakan kepada kerajaan Persekutuan agar pusat ini diurus tadbir dengan lebih baik terutama dengan mengecilkan jumlah yang hadir.

“Saya juga nak ingatkan bahawa CAC ini diuruskan oleh KKM bukan kerajaan negeri. Pihak kerajaan negeri dan saya sebagai koordinator bertugas untuk membantu apa sahaja yang diperlukan termasuk bekalan elektrik, air, fasiliti, kontraktor pembersihan, dan peralatan mencukupi,” katanya dalam siaran langsung bersama Malaysia Dateline di CAC Melawati hari ini.