Cadangan penubuhan J/Kuasa Hal Ehwal Islam inisiatif baik Majlis Raja-raja, kata AMANAH

Oleh MALAYSIADATELINE

Parti AMANAH Negara (AMANAH) menyokong penuh cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Insitusi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan.

Naib Presidennya Hasanuddin Mohd Yunus berkata  keterlibatan penuh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Urusetia kepada Jawatankuasa Tertinggi ini juga, adalah satu tanda aras yang baik.

“Ini jelas bagaimana Raja-Raja Melayu telah diberikan peranan besar dalam mengkaji kedudukan serta pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan,

” Sokongan AMANAH terhadap penubuhan jawatankuasa itu kerana bermatlamat untuk menambahbaik institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan.

” Saya juga difahamkan bahawa cadangan penubuhan Jawatankuasa ini telah pun dimaklumkan kepada Kabinet minggu lepas, dan turut mendapat sokongan yang positif oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

“AMANAH menyokong sepenuhnya penubuhan jawatankuasa berkenaan. Ia sekaligus bertepatan dengan penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) pada tahun 1968, yang turut melibatkan peranan Raja-Raja Melayu hasil idea Perdana Menteri Kedua Malaysia, almarhum Tun Abdul Razak,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau  turut memberikan ucapan penghargaan, kepada Malis Raja-raja Melayu kerana perkenan akan cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut.

“Tahniah dan menjunjung kasih ke bawah Duli Raja-Raja Melayu atas penubuhan jawatankuasa tertinggi ini yang akan bertindak mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan,” ujarnya lagi.

Hasanuddin yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, AMANAH berpandangan bahawa dengan Penubuhan Jawatankuasa ini telah sekaligus memenuhi Janji ke-11 seperti yang terkandung di dalam Buku Harapan, di mana PH beriltizam bagi mengembalikan peranan Raja-Raja Melayu dalam urustadbir hal ehwal agama.

“AMANAH yakin dan percaya bahawa jawatankuasa tertinggi ini nantinya akan dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelancaran serta kelicinan urus tadbir agama Islam di seluruh negara,” ujarnya.