Menjelang pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar yang dijadualkan esok, calon Amanah Ustaz Azhar Abd Shukur menitipkan surat terbuka kepada para pengundi di kawasan parlimen tersebut.
Dalam surat yang disiarkan akhbar rasmi parti Amanah, Azhar berkata keputusannya untuk menjadi calon didorong keinginan untuk menzahirkan mesej Islam sebagai agama yang menyatu-padukan dan membela seluruh rakyat.
“… supaya orang Islam dan bukan Islam akan merasa lega wujudnya parti politik yang berasaskan Islam seperti Amanah. Islam menyatupadukan semua dan tidak sama sekali wajar digunakan sebagai bahan adu-domba dan pecah-belah seperti sekarang,” katanya.
Menurutnya, ungkapan “ini urusan orang Islam, yang bukan Islam jangan masuk campur” adalah istilah pecah-belah yang tidak wajar bagi umat yang Nabinya bersifat ‘tabligh’ atau ‘menyampaikan’.
Menyentuh tentang bangsa, beliau mahu bangsa Melayu dilihat bermaruah dan berprinsip, menolak perkauman, rasuah dan penyelewengan dan bukan sebaliknya.
Berikut disiarkan surat terbuka Azhar kepada pengundi:
Assalamu’alaikum wbt.
Saudara-saudaraku pengundi Sungai Besar yang saya hormati sekalian.
Semoga berada dalam keadaan sihat wal-afiat. Bagi yang beragama Islam, semoga menghayati Ramadhan Al-Mubarak dengan sepenuhnya walaupun mungkin sedikit terganggu oleh pilihan raya kecil yang sedang diadakan.
Perlu diingat, walaupun pilihan raya bukan sebahagian dari amalan puasa tetapi ianya tetap satu kewajipan terhadap rakyat dan negara yang diambil kira Allah sebagai amalan muamalah yang penting. Semoga kita sama-sama tunaikan kewajipan kita dengan sebaik-baiknya.
Saya ingin melihat kepimpinan politik Melayu yang berakhlak, yang mengutamakan kasih sayang dan persaudaraan, saling bantu-membantu dan tolong-menolong, berkebajikan dan beramanah. Sering saya ungkapkannya sebagai politik ‘rahmatan lil ‘alamiin’.
Saya melihat AMANAH mempunyai cita-cita dan wawasan yang sama dan atas sebab itu saya bersama AMANAH. Agama dan bangsa tidak seharusnya digunakan untuk mengukuhkan pentadbiran yang rasuah dan bobrok, sebaliknya untuk menyeru saudara sebangsa dan seagama, malahan rakyat keseluruhannya, menolak pentadbiran sebegitu.
Mana mungkin sesuatu bangsa atau agama dihormati sekiranya ia digunakan untuk mempertahankan unsur perkauman, rasuah, penyelewengan, pembaziran dan kezaliman?
Saya ingin menzahirkan mesej Islam sebagai agama yang menyatu-padukan dan membela seluruh rakyat, supaya orang Islam dan bukan Islam akan merasa lega wujudnya parti politik yang berasaskan Islam seperti AMANAH. Islam menyatupadukan semua dan tidak sama sekali wajar digunakan sebagai bahan adu-domba dan pecah-belah seperti sekarang.
Ungkapan “ini urusan orang Islam, yang bukan Islam jangan masuk campur” adalah istilah pecah-belah yang tidak wajar bagi umat yang Nabinya bersifat ‘Tabligh’ atau ‘menyampaikan’. Sebaliknya yang perlu dilakukan adalah menyampaikan dan menjelaskan dengan baik dan bijaksana. Jangan atas sebab malas atau tidak mampu maka digunakan pendekatan mudah yang kesannya lebih menolak dari menarik kepada Islam.
Begitu juga dengan bangsa. Biar bangsa Melayu dilihat bermaruah dan berprinsip, menolak perkauman, rasuah dan penyelewengan dan bukan sebaliknya.
Oleh itu saya menerima keputusan untuk saya dicalonkan di Parlimen Sungai Besar ini dengan harapan cita-cita besar seperti saya jelaskan di atas dapat saya hayati dan zahirkan.
Kalau saya dipilih sebagai Ahli Parlimen tuan-tuan, saya akan berusaha untuk menjadi wakil rakyat yang berdamping dengan semua rakyat yang saya wakili, berbincang dengan mereka, mendengar pandangan dan cadangan mereka sambil membela nasib mereka.
Sama ada Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, keadilan Islam menuntut semua dibela dan dilindungi hak dan maruah mereka. Cukuplah dengan politik perkauman, rasuah dan penyelewengan. Mari kita mulakan politik baru, politik persaudaraan, kesatuan, keadilan dan berkebajikan di Sungai Besar bersama AMANAH dan Pakatan Harapan.
Saudara-saudaraku pengundi Sungai Besar yang saya hormati sekalian, saya sedar diri saya tidak seberapa dan cita-cita saya seperti di atas, besar menggunung. Tetapi saya yakin bahawa ianya mampu tercapai dengan sokongan dan bantuan tuan-tuan.
Saya orang ‘biasa-biasa’ tetapi bersama tuan-tuan, kita boleh capai sesuatu yang luar baisa. Saya harap tuan-tuan boleh menyokong saya atas sebab cita-cita saya ini.
Semoga kita berkongsi cita-cita ini. Melaluinya saya yakin negara kita akan lebih bersatu jiwa dan mara ke depan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Semoga tuan-tuan diberkati dan dirahmati Allah sepanjang bulan Ramadan ini dan seterusnya, serta dipandu Allah dalam segala urusan.
Wassalam.
AZHAR AB SHUKUR
Calon AMANAH PRK Sungai Besar