Calon PRM nafi buat gimik hanya mahu pastikan BN hantar calon lawan PKR

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahmad Kamaruddin

Penarikan diri saat akhir calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Kamarudin bukan gimik yang sengaja dilakukan untuk menarik perhatian pada hari penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis hari ini ketika menjawab soalan Malaysia Dateline.

Ahmad,42 yang pernah bertanding di Dun Bukit Antarabangsa menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu berkata, beliau mendapat panggilan akhir daripada Presiden PRM untuk membatalkan hasratnya untuk mewakili parti itu bertanding kali ini.

Beliau yang hadir 20 minit selepas calon PKR dan BN Mohd Zawawi Mohd Munghi dan Datuk Lokman Adam mendaftarkan diri sebagai calon kepada parti masing-masing tetapi belia tidak berbuat demikian.

Ia menimbulkan persoalan dikalangan media yang hadir dan meluru untuk mendapatkan penjelasannya di luar Dewan Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Shah Alam hari ini.

Katanya, atas nasihat Presiden  parti itu mahu memberi ruang kepada berlakunya pertandingan dua penjuru antara BN dan PKR.

“Saya hadir kerana nak memastikan sekiranya BN tidak meletakkan calonnya di saat akhir. Kita nak pastikan akan berlaku pertandingan satu lawan satu di Sungai Kandis.

“Tetapi saya mendapat panggilan daripada Presiden dan saya reda dengan keputusan itu supaya membiarkan ada pertarungan sengit antara BN dan PKR,” ujarnya walaupun beliau menyedari ada calon Bebas turut hadir menghantar borang pencalonan mereka.

Terdahulu Ahmad hadir pada jam 9.30 pagi kemudian calon bebas Murthi A/L Krishnasamy hadir 5 minit kemudian pada 9.35 pagi yang dilihat masuk dalam dewan terus ke meja pegawai pendaftar untuk menyerahkan borang pencalonan.

Beliau yang juga bekas ahli PKR itu berkata, walaupun terpaksa menarik diri di saat akhir beliau tidak berputus asa untuk memastikan PRM mengemukakan calonnya pada PRK Balakong nanti susulan kematian penyandangannya pada Khamis.

“Kemungkinan pada PRK Balakong PRM akan meletakkan calonnya. Kita akan letakkan seorang calon Cina di Balakong.

“Tapi di Sungai Kandis untuk memastikan pembangkang menentang kerajaan PH perlu ada pertandingan satu lawan satu. Ini bukan gimik.

“Lepas ini di Balakong kita (PRM)  akan adakan perbincangan dengan Pas untuk memastikan pertandingan satu lawan satu berlaku di sana,” dedahnya.

Walaupun bukan menjadi ahli PRM tetapi beliau mendapat watikah daripada parti itu untuk menjadi calon bertanding pada PRK Sungai Kandis kali ini.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon Pas Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi)  dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mendapat 76 undi.