Penyanyi rap yang juga aktivis, Caprice mendakwa insiden kehilangan seorang pempengaruh dikenali sebagai Eyka di sekitar hutan di Bandung, Indonesia adalah palsu dan rekaan semata-mata.
Caprice bukan sekadar bercakap ‘kosong’ sebaliknya turut menujukkan bukti bahawa kehilangan gadis berusia 22 tahun terbabit selama tiga hari di dalam hutan itu tidak benar-benar berlaku.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Instagram, Caprice turut berkongsikan tangkap layar memaparkan perbualannya bersama pihak pengurusan ‘talent’ yang tampil dalam ‘penggambaran’ insiden itu.
Dalam perbualan tersebut, pihak pengurusan berkenaan mendedahkan bahawa talent mereka sudah dinasihatkan untuk tidak melibatkan diri dalam penciptaan kandungan sedemikian namun peringatan itu tidak diendahkan.
Namun perkara yang lebih mengejutkan adalah beberapa talent di bawah pihak pengurusan terbabit bekerja tanpa menerima sebarang bayaran hasil daripada usaha keras mereka.
“Sah (kejadian kehilangan) itu palsu. Pihak agensi yang menguruskan beberapa talent dalam video itu mengesahkan bahawa ia palsu. Sudahlah mereka tak dapat bayaran.
“Betullah orang lama selalu kata. Bodoh itu percuma. Tetapi janganlah borong semua,” kata Caprice menerusi ruangan kapsyen perkongsian dalam bentuk video untuk mengulas kejadian itu.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu turut berpandangan bahawa insiden tersebut boleh menjejaskan nama Malaysia memandangkan kandungan berkenaan dirakamkan di negara seberang.
Terdahulu, Eyka atau nama sebenarnya Nur Syafiqah, 22, dilaporkan hilang di sekitar hutan di Bandung, Indonesia pada awal pagi Isnin lalu ketika merakamkan kandungan atau ‘content’ paranormal.
Personaliti media sosial itu kemudian ditemukan selamat selepas hilang selama tiga hari dalam keadaan terbaring dan lemah longlai di hutan berkenaan susulan rakan-rakannya melakukan usaha pencarian.
Gadis terbabit ditemukan selamat kira-kira pada pukul 10 malam Rabu yang mana kejadian penemuan berkenaan turut disiarkan menerusi satu sesi penstriman langsung di platform TikTok.
Khabar penemuan Eyka turut dikongsikan di akaun TikTok milik Ammar Nazhan yang juga merupakan pempengaruh sensasi selaku individu mengetuai aktiviti paranormal tersebut.
Bagaimanapun ramai pengguna media sosial tempatan mengakui merasa sangsi dengan kejadian tersebut sama ada ia sekadar lakonan semata-mata untuk melariskan kandungan mereka atau benar-benar berlaku.