Selepas sebulan menghayati bulan Ramadan dengan ibadah siang dan malam, tibalah masa kita menyambut bulan Syawal.
Pastinya masing-masing ada cara tersendiri untuk menyambut 1 Syawal tapi apa salahnya tahun ini kita sambut mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Ikuti perkongsian dari portal Mufti Terengganu mengenai cara menyambut Syawal dengan menghayati sunnah-sunnah.
Pertama: Bertakbir pada malam raya dan pagi raya di mana sahaja mereka berada (selain dalam tandas).
Kedua: Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah s.w.t, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati” (H.R Ibnu Majah)
Ketiga: Mandi sunat hari raya, memakai pakaian yang baik dan memakai bau-bauan sebelum keluar menunaikan solat hari raya.
Keempat: Bagi makmum sunat pergi ke tempat solat raya lebih awal, sementara Imam disunatkan datang lewat sedikit, iaitu ketika hendak mendirikan solat.
Kelima: Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri.
Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Bukhari].
Keenam: Memberi kelapangan kepada keluarga dari segi perbelanjaan, memperbanyakkan sedekah sekadar yang termampu.
Ketujuh: keluar pergi solat melalui jalan lain dan balik ke rumah semula selepas solat melalui jalan lain. Bagi yang mampu adalah lebih afdhal pergi solat berjalan kaki,
Kelapan: Menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu dengan orang mukmin, serta ziarah menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim serta mengucapkan sebarang ucapan yang baik.
Para sahabat Rasulullah s.a.w ketika bertemu sesama mereka pada hari Raya mereka menyebut :تقبل الله منا ومنك (semoga Allah menerima amal kami dan juga amalmu).
Kesembilan: Tidak berjabat salam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, seperti ipar, isteri bapa saudara atau suami emak saudara dan seumpamanya.
Baca juga: Baru tahu Cornflakes Madu ada versi ‘spicy’, dijamin tak muak makan depan TV di Hari Raya ini!