Cari orang tak pernah tengok Star Wars, syarikat sanggup tawar hampir RM5K untuk tonton semua siri

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah menjadi kebiasaan untuk semua orang mempunyai minat dan cita rasa berbeza dalam menonton filem apatah lagi yang jenis bersiri.

Bagi peminat fanatik, mereka pastinya akan melihat semua siri semula sementara menunggu filem terbaru.

Disebabkan itu, ada syarikat sanggup bayar bukan peminat untuk menonton filem mereka agar dapat memberikan pandangan untuk perbaiki filem terbaru yang akan dikeluarkan.

Sebuah laman sesawang financial advisor dikatakan sedang mencari seseorang yang tidak pernah menonton filem Star Wars untuk menonton semua sembilan filem saga itu.

Bukan hanya itu mereka yang terpilih juga ditawarkan ‘upah’ AS$1,000 (kira-kira RM4,777) lapor United Press International (UPI).

FinanceBuzz mengumumkan perkara tersebut bagi meraikan ‘Hari Star Wars’ tahun ini iaitu pada 4 Mei.

“Kami sedang mencari seseorang yang pertama kali menyertai ‘The Force’, seorang ‘Jedi muda’ yang tulen, untuk menilai dan menilai saga dari perspektif orang luar.

“Kami akan menggunakan analisis ‘Wookiee Rookie’ kami untuk cerita akan datang mengenai francais berkenaan,” kata siaran itu.

Menurut laman sesawang itu, calon yang dipilih akan menonton setiap siri filem itu mengikut susunan tahun ia ditayangkan.

“Bermula dalam susunan kronologi (mengikut tarikh keluaran), anda akan (menonton) dari Episode IV: A New Hope sehingga ke Episod IX: The Rise of Skywalker.

“Dan jika anda tertanya-tanya mengapa kami tidak bermula dengan Episod I, anda mungkin orang yang sesuai untuk tugas kami,” kata FinanceBuzz.

Laman itu akan turut memberikan bayaran AS$100 (kira-kira RM478) untuk kos penstriman filem.

Mereka yang terpilih berpeluang menonton Episod I: The Phantom Menace di pawagam, untuk tayangan semula filem itu sempena ulang tahunnya ke-25, pada masa akan datang.

Permohonan sedang diterima di laman sesawang berkenaan dan dibuka sehingga pada 4 Mei ini.

Baca juga: Peminta sedekah berat hati nak berhenti jadi pengemis, gembira mampu kumpul aset cecah RM4.2 juta