Penyanyi rap yang juga aktivis kemanusiaan iaitu Caprice kembali mencuri perhatian baru-baru ini selepas memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah sekolah rendah agama swasta.
Rakaman CCTV yang memperlihatkan aksi dua penyamun termasuklah individu memakai kopiah sedang memecah masuk ke dalam sekolah swasta terletak di Bukit Jelutong itu dipercayai dikirim oleh anak kepada pemiliknya.
Menerusi perkongsian tangkap layar pesanan secara terus (DM) di antara Caprice dan anak pemilik, sekolah ibunya itu dikatakan telah dirompak oleh penyamun yang sama lebih kurang sebanyak tiga kali.
Namun sayangnya walaupun rakaman CCTV terbabit jelas memaparkan wajah kedua-dua pelaku, namun mereka masih gagal dikesan sehingga kini malah pihak polis didakwa mengatakan bukti tidak memuaskan.
“Laporan sudah dibuat dan pihak polis juga telah datang (menyiasat). Tetapi rasa macam tiada harapan sebab polis kata video tak jelas. Cap jari juga susah nak dapat sebab katanya tempat mereka pegang itu tidak ‘valid’. Kerana permukaan tombol dan sebagainya tak rata.
“Saya geram sebab tahun lalu juga perompak yang sama. Sampai bila nak bagi lepas. Cuba Caprice tengok, saya rasa video ini jelas. Dalam video CCTV ini nampaklah perompak itu siap pakai kopiah. Geram sahaja tengok. Munafik betul,” kesalnya dalam pesanan itu.
Rakaman itu kemudian dikongsikan Caprice di akaun
Instagram miliknya memaklumkan pemberi maklumat pertama mengenai perompak tersebut akan diberikan ganjaran.

Wajah pelaku di dalam rakaman CCTV dikongsikan Caprice menerusi platform Instagram itu.
Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memaklumkan pihaknya kini sedang memburu kedua-dua supek yang melarikan wang tunai berjumlah RM1,600 itu.
Kejadian berlaku di antara pukul 10.40 hingga 11.30 malam pada 10 Mei lalu sebelum pihak polis menerima laporan kira-kira pada jam 3.09 petang sehari selepas itu daripada seorang lelaki iaitu timbalan pengarah sekolah tersebut.
Pihaknya mendapati kedua-dua suspek telah memecah masuk melalui pintu belakang bangunan sekolah agama swasta tersebut sebelum bertindak mengambil sejumlah wang tunai, lapor Kosmo.
“Semakan dibuat pihak sekolah itu mendapati sejumlah RM100 yang disimpan di dalam peti wang tunai koperasi serta RM1,500 di dalam laci telah hilang. Polis sedang berusaha keras untuk mengesan dan menangkap suspek pada kadar segera.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Hanafi di talian 010-3727932,” katanya memetik laporan Kosmo.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara dalam tempoh maksimum 14 tahun manakala kesalahan kedua boleh dikenakan denda atau sebat sekiranya disabitkan kesalahan.
Mohd Iqbal juga memberitahu pihaknya akan memanggil pengadu untuk memberikan kenyataan lanjut berhubung dakwaan anak kepada pemilik sekolah itu bahawa pihak polis menyatakan video CCTV tersebut tidak jelas.
“Kita minta pengadu menjelaskan siapa polis yang cakap sedemikian. Kalau tengok (CCTV) adalah jelas. Mungkin ada salah komunikasi. Pihak kami sudah menerima semua rakaman CCTV dan sedang diproses.” Jelasnya.
Baca juga: Ramai puji tindakan asnaf minta zakat henti bantuan sebab dah mampu sara keluarga