Celebral Palsy tak halang pemuda cari rezeki, gigih meniaga dengan motosikal roda tiga

Oleh WAN SITI AMINAH

Semangat pemuda orang kelainan upaya (OKU) kategori Celebral Palsy yang dikenali sebagai Aniq Fitri dalam mencari rezeki telah berjaya menginspirasi orang ramai.

Tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang, Aniq malah gigih menunggang motosikal roda tiga di sekitar Senawang, Negeri Sembilan untuk menjual air.

Aniq mula mencuri perhatian ramai selepas pengguna TikTok, @Trulynogorisembilan memuat naik rakaman ketika pemuda berkenaan meniaga di hadapan sebuah pasar raya di Senawang.

Dalam rakaman tersebut, Aniq yang tidak lekang dengan senyuman itu kelihatan begitu bersemangat ketika bercerita tentang produk jualannya sebaik ditanya oleh perakam video.

Menurut perakam video, perkongsian tersebut dibuat dengan tujuan untuk dijadikan contoh serta motivasi kepada orang ramai dalam mencapai impian masing-masing.

@trulynogori9

📍Abang Jual Air atas motor. Korang Jumpa aniq nanti support ye. @Aniq Fitri #trulynogori9 #abangrider #abangjualair #seremban

♬ original sound – TRULYNOGORISEMBILAN – TRULYNOGORISEMBILAN

“Kali ini kami jumpa seorang usahawan hebat. Anak muda yang kurang upaya tetapi rajin mencari rezeki untuk menyara diri. Sentiasa ceria dan manis dengan senyuman.

“Walaupun Aniq kurang upaya, semangat beliau sungguh luar biasa. Bagus Aniq ini, rajin berniaga. Mungkin kita boleh jadikan sebagai contoh yang baik untuk terus bermotivasi capai impian yang kita mahukan,” tulisnya dalam keterangan video.

Difahamkan, perniagaan air botol itu bukanlah milik Aniq sebaliknya pemuda terbabit diberikan tugas untuk menjualnya di sekitar kawasan Senawang dan juga Seremban.

Perakam video juga berharap dengan perkongsian tersebut, orang ramai boleh turut memberi sokongan dengan membeli air minuman dijual oleh pemuda OKU terbabit.

“Kamu semua kalau jumpa Aniq, jangan lupa berikan sokongan. Jangan takut pula kalau terjumpa Aniq. Walaupun dia OKU, namun cara pemikirannya sangat matang.

“Kita doakan Aniq berjaya dunia akhirat. Semoga perniagaan aniq terus maju,” kata pemilik akaun TikTok terbabit dalam video yang berjaya meraih 4.9 juta tontonan itu.

Sekadar info, pemilik nama sebenar Aniq Fitri Ros Efendi yang berusia 19 tahun itu merupakan anak tunggal dalam keluarganya dan pemuda terbabit bekerja untuk belajar berdikari.

Baca juga: Niat bantu suami tambah pendapatan, suri rumah kini raih ribuan ringgit hasil jual kuih