CEO Batu ditahan polis

Oleh ROSLAN ZAMAN

Tindakan seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai CEO Batu akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis selepas didakwa menghantar mesej berunsur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Semalam pempenagruh berusia 22 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam dan telah ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung dakwaan tersebut ,kata laporan Ohmedia.

Memetik dari portal Ohmedia, kes berkenaan turut disahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.

Semalam, pempengaruh yang juga penyanyi rap Caprice kembali menggemparkan platform media sosial apabila membuat pendedahan mengejutkan mengenai pempengaruh dikenali sebagai CEO Batu yang didakwa telah menghantar gambar tidak senonoh kepada remaja bawah umur.

Caprice yang juga bergelar aktivis itu turut memuat naik bukti untuk menyokong dakwaannya menerusi beberapa siri hantaran di akaun Instagram miliknya dalam bentuk tangkap layar perbualan membabitkan individu didakwa CEO batu dengan seorang remaja perempuan 14 tahun.

Berdasarkan tangkap layar tersebut, dapat dilihat bahawa remaja berkenaan mula menghubungi CEO Batu pada 14 November tahun lalu menerusi pesanan secara terus (DM) di platform TikTok yang mana mangsa menyatakan keinginannya untuk menghasilkan kandungan bersama.

Pesanan berkenaan kemudian dibalas pemilik akaun CEO Batu dengan bertanyakan lokasi tempat tinggal mangsa sebelum meminta nombor telefon remaja perempuan itu dipercayai untuk meneruskan perbualan mereka di aplikasi Whatsapp.

Selepas ‘berpindah’ ke aplikasi Whatsapp, individu yang didakwa CEO Batu itu kemudian bertindak menghantar gambar tidak senonoh iaitu anggota badan bahagian perut ke bawah konon untuk menunjukkan parut pembedahan appendicitis (apendiks).

“Kasi angkut (Sila tahan) Polis Diraja Malaysia. Sampai bila kita nak biarkan kes-kes macam ini (berleluasa)?. Sampai anak orang pun tak selamat,” tulis Caprice ataupun nama sebenarnya, Ariz Ramli dalam ruangan kapsyen hantaran itu.