Pempengaruh media sosial dikenali sebagai CEO Batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Ampang hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal kepada seorang remaja perempuan, dua bulan lalu.
Pengakuan berkenaan dibuat oleh CEO Batu atau nama sebenarnya, Muhamad Iqbal Muhamad selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Tertuduh berusia 22 tahun itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluannya agar dilihat mangsa berusia 13 tahun di sebuah kediaman di Batu Caves, Gombak pada pukul 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh untuk diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan serta dilarang mengganggu mangsa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, Mohd Aniq Rafih memohon jaminan lebih rendah iaitu RM6,000 memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pempengaruh dengan pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan.
Pendapatan tersebut kini terjejas berikutan akaun media sosial miliknya disekat dan telefon pintarnya masih berada dalam simpanan polis selain perlu menjaga datuknya yang menghidap penyakit kencing manis serta jantung.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Ogos depan untuk serahan dokumen dan pempengaruh itu juga akan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang esok atas tuduhan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan gambar lucah dalam telefon bimbit.
Baca juga: Pengusaha kereta sewa dah boleh guna trik matikan enjin dari jauh, itu je cara ‘ajar’ penyewa degil