Kebelakangan ini nama pempengaruh, Chazynash sering dijadikan topik perbincangan hangat di platform media sosial terutama selepas mengumumkan perceraiannya dengan bekas isteri iaitu Fatin Morat.
Namun perbincangan itu turut dicemari dengan tuduhan yang mendakwa pempengaruh terbabit berlaku curang bersama wanita lain sehingga menjadi punca pasangan yang sebelum ini terlihat romantis bercerai.
Lebih memburukkan keadaan, kata-kata yang dilontarkan oleh pengguna media sosial termasuk penyebar dakwaan tersebut dilihat sangat berlebihan malah Chazynash turut menyifatkannya sebagai satu bentuk fitnah.
Perkara ini turut mendorong pemilik nama sebenar Syed Fernarsh Syed Badlishah itu untuk mengambil tindakan tegas di dalam mengesan individu di sebalik akaun yang menyebarkan fitnah mengenai dirinya.
Usaha itu didedahkannya menerusi satu hantaran gambar bersama Ketua Polis Perlis, Deputi Superintendan (DSP) Datuk Muhammad Abdul Halim dan Asisten Superintendan (ASP) Asyraf Mohamad di akaun Instagram miliknya.
“Doakan agar urusan saya dipermudahkan. Semoga dapat kesan orang di sebalik akaun palsu ‘mcoltallstar’ di sosial media yang telah mencetuskan penyebaran berita tidak benar dan kebencian secara terbuka.
“Sejak semalam, akaun palsu ini sudah hilang dari radar. Kepada netizen di luar sana kalau tak tahu hal sebenar, mohon jangan masuk campur atau melontarkan komen-komen tidak sopan lagi,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam perkongsian yang sama, Chazynash turut memberi nasihat kepada orang ramai untuk menjaga keharmonian tangga masing-masing dan menghentikan budaya buli siber.
Terdahulu, pempengaruh terbabit tampil mengumumkan status perkahwinannya dengan Fatin Morat setelah sekian lama tidak tampil bersama untuk membuat kandungan atau ‘content’ di sosial media.
Jelasnya, mereka berdua sebenarnya sudah bercerai sejak 23 Januari lalu secara baik dan meletakkan kesalahan di atas bahunya selain turut menafikan dakwaan kewujudan orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

Baca juga: ‘Personal shopper’ licik, pempengaruh rugi lebih RM200k, tak sangka ini yang dia buat!