Ciapan buruk: PM Anwar arah individu mohon maaf kepada Hadi

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seorang individu memohon maaf atas ciapan biadab yang mendoakan perkara buruk buat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi sejak semalam dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan selepas dilaporkan bertambah uzur sejak 27 Jun lalu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, dalam ciapan di Twitter mengarahkan individu yang dipercayai penyokong partinya untuk membuat permohonan maaf.

“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” ciapnya.

Pengguna Twitter @Zaki_Yamani_ dikesan memuat naik ciapan menulis memohon untuk Presiden Pas itu diambil nyawanya supaya ‘kerosakan’ yang dibuat dapat dihentikan selepas dilaporkan keadaan kesihatannya merosot.

Lelaki itu juga mendoakan perkara sama terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Doa: Ya Allah! Ambil lah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukan nya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu.

“P/S: Ambil sekali Mahathir,” ciapnya.

Sehingga pagi ini, lelaki tersebut masih belum memadamkan ciapannya itu biarpun kecaman dilemparkan pengguna Twitter lain kepadanya.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, seorang individu turut mereka (design) poster kematian berwarna hitam dikatakan sebagai ‘persiapan’.

“Draft our designer dah siapkan. Awai tak kalut.. Ada gambar yang elok-elok sikit tak?,” ciap @TheRedz.

Perkara itu mendapat perhatian Datuk Seri Amirudin Shari yang kemudian menegur tentang adab.

“Doakan yang baik, adab harus dipelihara walau berbeza pandangan dan politik,” ujarnya