Cik B nafi berhibur di kelab malam, acara diadakan dalam rumah tanpa minuman keras

Oleh WAN SITI AMINAH

Anak kepada usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B tampil memberi penjelasan tentang dakwaan dirinya berhibur di sebuah kelab malam seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dakwaan timbul selepas Cik B memuat naik satu video di platform TikTok yang memaparkan dirinya seperti sedang berhibur di lokasi lengkap dengan pencahayaan seakan-akan pusat hiburan bersama kehadiran deejay (DJ).

Orang ramai kemudian membanjiri ruangan komen video tersebut dengan teguran dan nasihat kerana menyangka pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin itu berkunjung ke kelab malam.

Gadis berusia 20 tahun itu kemudian tampil menyangkal dakwaan tersebut menerusi ruangan komen perkongsian sama dengan mengatakan acara sebenarnya berlangsung di dalam sebuah rumah sahaja bukanlah kelab malam.

Malah Cik B yang bergelar pempengaruh dan usahawan itu juga menegaskan bahawa tiada sebarang minuman keras atau alkohol dihidangkan sepanjang acara tersebut dilangsungkan.

“Saya hanya mahu memberikan penjelasan bahawa kami berada di dalam rumah. Ada pencahayaan, persembahan artis tempatan, DJ dan pengunjung yang ramai. Bukanlah kelab malam dan tiada alkohol disediakan,” jelasnya.

Tinjauan kemudian mendapati rata-rata pengguna TikTok berpendapat bahawa suasana dalam acara tersebut tetap tidak mewajarkan Cik B untuk menghadirinya meskipun bukan diadakan di kelab malam.

Ramai juga pengguna berharap agar Cik B lebih berhati-hati terutamanya di dalam pergaulan dan memilih rakan supaya tiada mudah terperangaruh dengan perkara lagha (sia-sia) mahupun mudarat.

“Baiklah, tetapi hati-hati dalam berkawan Cik B. Jangan sampai orang mengambil kesempatan dalam kehidupan Cik B, disanjung apabila perlu sahaja,” kata seorang pengguna membalas respon gadis terbabit.

“Tak perlu semua ini Cik B. Kita hidup sementara sahaja. Jangan nanti Allah cabut nyawa kita di dalam keadaan berpesta. Jaga aib ibu bapa.” Nasihat pengguna lain berharap Cik B mengambil iktibar.

Baca juga: Luahan individu tentang murid darjah 1 yang tak boleh membaca cetus perdebatan Ibu Bapa